BANGKOK: Awas Malaysia jangan cepat sangat bergembira!
Sejak separuh akhir Piala AFF dilangsungkan secara format timbal balik bermula 2004, skuad negara layak ke separuh akhir sebanyak enam kali iaitu 2004, 2007, 2010, 2012, 2014 dan 2018.
Daripada enam separuh akhir itu, Malaysia hanya meneruskan kemaraan sebanyak tiga kali - 50 peratus layak ke final dan bagi edisi 2022, Malaysia hanya 90 minit dipisahkan daripada final kelima selepas 1996, 2010, 2014 dan 2018.
Ini selepas skuad bimbingan Kim Pan Gon membawa bekalan satu gol bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, malam ini susulan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Rekod 50 peratus layak ke final itu seharusnya menjadi kebimbangan memandangkan keputusan yang berpihak buat Malaysia pada separuh akhir pertama ada kalanya belum cukup untuk memacu mereka mara ke pentas penentuan.
Berdasarkan sejarah, keputusan positif pada aksi pertama tidak bermakna mereka boleh terus mengimpikan pentas final kerana detik hitam' ayang perlu dilalui skuad kebangsaan sebelum ini seharusnya membuatkan Pan Gon dan 'perajuritnya' lebih berhati hati.
Takdir pernah menulis perkara itu pada edisi 2004 di mana ketika Malaysia seakan merapati final dengan kemenangan 2-1 di tempat lawan, mereka dibelasah 1-4 di laman sendiri untuk Indonesia mara ke final dengan agregat 5-3.
'Benda' sama terjadi pada 2007 di mana Malaysia terikat 1-1 dengan Singapura bagi kedua dua aksi separuh akhir namun Singapura 'menendang' skuad negara daripada Piala AFF selepas memenangi sepakan penalti penentuan.
Begitu juga pada edisi 2012 di mana Malaysia seri 1-1 dengan Thailand di laman sendiri namun Thailand bangkit pada aksi di Bangkok menerusi kemenangan 2-0 sekaligus menghancurkan lagi harapan skuad negara memburu gerakan kedua.
Ya sudah tentu ada saja perkara 'manis' seperti kemenangan 2-0 di Hanoi pada separuh akhir pertama edisi 2010 'membentuk' laluan negara ke final yang menyaksikan Malaysia merangkul gelaran 'Raja Bolasepak ASEAN.
'Cerita mengenai kebangkitan juga ada pada edisi 2014, skuad negara kecundang 1-2 di laman sendiri tetapi bangkit menundukkan Vietnam 4-2 di Hanoi untuk mara ke final.
Cuma peringatan tetap perlu diberikan dan Pan Gon turut menyedari perkara ini apabila dia mengakui 'kerja' mereka belum lagi selesai.
Jadi 'karya' apa pula yang akan dicetak anak buah Pan Gon di bumi Thailand malam ini kerana ibarat Thailand yang jarang 'bertuah' di Malaysia, begitu jugalah Malaysia ketika di bumi Thailand.
Adakah mereka mahu meletakkan nama dalam senarai mereka yang 'lolos' ataupun menghimpun nama 'sekelas' dengan mereka yang gagal?
Apapun, jika dihitung jarak perjalanan yang sudah diharungi selepas tiga kali beraksi di tempat lawan di kempen Piala AFF 2022, mereka sudahpun menghimpun 'jumlah perbatuan' pergi dan balik mencecah 10,826 kilometer (km).
Sudahlah mengharungi perjalanan jauh, tidak cukup rehat dan jadual padat, sudah tentu semua ini tidak berbaloi jika pasukan negara tidak ke final, jadi pastikan ke final!