ISKANDAR PUTERI: Pengendali baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Estaban Solari tekad untuk meneruskan pencapaian cemerlang pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Super yang bakal menyingkap tirai pada 24 Februari ini.
Solari yang sinonim dengan panggilan `Tano' merakamkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempelawanya membimbing skuad Harimau Selatan.
"Selepas melihat rakaman video permainan JDT, saya dan beberapa jurulatih yang akan bersama mengadakan perbincangan bagi meningkatkan lagi kualiti dan corak permainan pasukan itu selain mahu membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap bagi mengharungi saingan liga nanti.
"Apa yang saya lihat masih ada ruang yang perlu diperbaiki. Sebab itu saya berada di sini untuk pastikan kualiti permainan JDT lebih agresif dan berkualiti. Kontrak saya bersama JDT selama setahun dan bergantung jika saya mahu membimbing pasukan itu seandai mampu mencipta kejayaan buat pasukan itu," katanya pada sidang media dipejabat JDT, di sini, petang tadi.
Ditanya mengenai harapan menggunung penyokong yang mengharapkan kehadiran beliau ke JDT mampu meneruskan kejayaan pasukan itu, Solari menegaskan sejarah kejayaan JDT tidak perlu disangkal sejak 10 tahun lalu dengan mencipta keajaiban malah akan menyahut cabaran diamanahkan.
Katanya, untuk membimbing sesebuah kelab bukan tugas mudah, sebaliknya beliau dan pasukan kejurulatihan akan `bermandi peluh' untuk melatih pemain ke tahap yang lebih baik walaupun mengakui ia bukan tugas mudah dan perlu ada kesabaran bagi menempuh cabaran baharu itu
Menurutnya, pengalaman selama lima tahun bersama skuad Argentina ketika menjadi penolong jurulatih kepada skuad Bawah 20 dan Bawah 23 akan dipratikkan sepenuh untuk membimbing JDT.
Sebelum in turut bertanggungjawab membantu membentuk pemain seperti Julian Alvarez, Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister, Cristian Romero, Lisandro Martinez, Lautaro Martinez yang bersama skuad senior Argentina menjuarai Piala Dunia 2022, baru-baru ini.
Misi Solari sebelum saingan liga menyingkap, sudah pasti memperkemaskan lagi taktikal yang lebih ampuh apabila skuad Harimau Selatan akan mengadakan aksi persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menentang kelab dari Eropah dan UAE
Antara kelab-kelab yang bakal berdepan JDT adalah FC Rostov, FC Levski Sofia, FC Lokomotiv Moscow, FC Zenith St Petersburg dan salah sebuah kelab dari UAE yang dijadualkan pada bulan ini dan awal Februari.
Semua perlawanan ini bakal memberi ruang buat bekas penolong jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu mengenalpasti barisan pemain utama skuad Harimau Selatan.
"Sebelum ke Dubai, latihan pertama JDT yang bermula esok. Kami akan fokus latihan hari demi hari, langkah demi langkah kerana kami ada perancangan awal untuk pertingkatkan lagi corak taktikal dan fizikal kerana ia penting bagi memastikan momentum permainan kelak tidak terjejas," kata Solari.