KUALA LUMPUR: Umpama karnival.
Itu gambaran boleh dikongsikan apabila menyaksikan ratusan gerai jualan beroperasi di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sempena aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dan Thailand, malam ini.
Rata-rata peniaga yang ditemui menyifatkan ia umpama rezeki terpijak buat mereka dengan kehadiran ribuan penyokong bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.
Antara yang dijual adalah jersi, makanan, minuman dan pelbagai barangan cenderamata.
Seorang peniaga jersi, Mastor Samat, 50, dari Seberang Prai, Pulau Pinang, berkata beliau tiba di Stadium Nasional awal pagi tadi dan mula berniaga pada jam 10 pagi.
"Saya sudah 20 tahun berniaga jersi di stadium seluruh Malaysia. Untuk saingan Piala AFF kali ini memang saya sudah mula berniaga sejak perlawanan pertama Malaysia di sini.
"Alhamdulillah, dengan kehadiran ribuan penyokong, sambutan memang sangat menggalakkan dan hasil jualan juga meningkat…umpama rezeki terpijak untuk kami," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga jersi, Nazli Sabli, 49, dari Ipoh, Perak, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk membuka gerai jualan setiap kali ada perlawanan di Stadium Nasional.
"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan sejak saya mula buka gerai hari ini pada jam 10 pagi. Memang kalau ada perlawanan besar seperti ini akan meningkatkan lagi hasil jualan kami," katanya.
Suasana penonton di pekarangan stadium menjelang aksi perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 diantara Malaysia menentang Thailand di Stadium National Bukit Jalil. - NSTP/Aswadi Alias pic.twitter.com/UCqGmSSuJt
— Berita Harian (@bharianmy) January 7, 2023