Jumaat, 6 Januari 2023 | 4:32pm
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Harimau Malaya tak tertekan ranking Thailand

KUALA LUMPUR: Dari segi kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Thailand pastinya menjadi pasukan pilihan bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Mana tidaknya, dengan kedudukan ke-111 dunia, skuad Gajah Perang yang juga juara bertahan Piala AFF berada 34 anak tangga di atas pasukan kebangsaan yang menghuni kedudukan ke-145 dunia.

Namun, tiada istilah bertahan dalam kamus skuad Harimau Malaya apabila pengendalinya, Kim Pan Gon menegaskan mereka akan tetap menerkam lawan dalam misi memburu kemenangan untuk bekalan ke aksi kedua di Stadium Thammasat, Selasa ini.

"Kita tahu ranking Thailand lebih tinggi daripada kita dan mereka juga juara pada edisi lalu. Jadi kita perlu menghormati mereka dengan memberikan persembahan terbaik dan menggunakan skuad terkuat kita.

"Jadi, kita akan kekal dengan DNA kita, corak permainan dan karakter supaya dapat memberikan yang terbaik untuk membanggakan penyokong yang hadir ke stadium.

"Pemain nampaknya begitu teruja dan bermotivasi tinggi untuk aksi malam esok (malam ini). Jadi kita akan gunakan kelebihan yang ada (kehadiran penyokong) sebaik mungkin," kata Pan Gon pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia mengaibkan Thailand di kandang sendiri apabila mara ke final Piala Raja Thailand 2022 hasil kemenangan 5-3 menerusi sepakan penentuan selepas terikat 1-1 di Stadium Chiang Mai, September lalu.

Dalam masa sama, Pan Gon enggan terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan kerana lebih penting adalah untuk memastikan pasukannya bersedia sepenuhnya untuk berdepan Thailand bagi aksi separuh pertama itu.

"Thailand bukanlah pasukan yang lemah dan secara tradisionalnya mereka adalah pasukan yang menyerang yang baik. Pemain mereka ada kemahiran individu yang baik, jadi kita perlu menggunakan pendekatan sewajarnya.

"Kita memberikan semua maklumat yang ada kepada pemain dan mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Walaupun skuad kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini, tiada masalah kerana kita ada perancangan untuk diimplementasikan," katanya.

Berita Harian X