KUALA LUMPUR: Thailand sudah pasti mendapat pengajaran berguna selepas pertembungan pada separuh akhir kedua Piala AFF 2018 sekali gus menyaksikan misi Harimau Malaya pada separuh akhir kali ini menjadi lebih 'berat'.
Justeru, penyerang kebangsaan, Safawi Rasid mengakui rakan sepasukannya perlu beraksi dengan lebih mantap untuk berdepan skuad Gajah Perang yang pasti menjanjikan cabaran yang getir buat mereka.
"Kita menang (layak ke final) pun pada 2018 kerana mereka tidak dapat sempurnakan penalti. Jadi sudah tentu kita perlu menunjukkan aksi yang terbaik kali ini.
"Saya percaya rakan sepasukan sudah bersedia dan kita akan mengikuti semua taktikal yang dirancang barisan kejurulatihan. Kita akan pergi 'all out' untuk layak ke final," kata pemain yang bakal berhijrah ke Ratchaburi FC itu, musim depan.
Sebagai rekod pada edisi 2018, skuad kebangsaan yang ketika ini dibimbing Tan Cheng Hoe nyaris terlepas tiket ke perlawanan akhir apabila skuad Gajah Perang dihadiahkan sepakan penalti di minit akhir ketika kedudukan agregat terikat 2-2.
Namun skuad negara bertuah apabila tendangan Adisak Kraisorn melambung tinggi sekali gus 'menghantar' Malaysia ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Bagi kempen kali ini, pemain berusia 26 tahun itu tampak sudah berada pada prestasi terbaiknya kerana sekalipun belum merobek gawang lawan pada kempen kali ini, dia sudahpun mencatat empat bantuan gol setakat ini.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Kim Pan Gon layak ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B sementara Thailand yang juga juara bertahan menepati ramalan untuk mengungguli Kumpulan A.
Skuad bimbingan Alexandre Polking itu muncul pasukan paling berjaya di ASEAN dengan enam gelaran sementara Malaysia dengan gelaran tunggal yang diraih pada edisi 2010.