MANCHESTER, United Kingdom: Marcus Rashford meledak dalam empat perlawanan berturut-turut ketika Manchester United menang selesa 3-0 mengatasi Bournemouth pagi tadi untuk memperkukuhkan cengkaman mereka dalam kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Gol babak pertama bintang Piala Dunia Brazil, Casemiro dan jaringan babak kedua pemain antarabangsa England, Luke Shaw dan Rashford memberikan skuad kendalian Erik ten Hag kemenangan kesembilan daripada 10 aksi membabitkan semua kejohanan.
United, yang tewas dua aksi pertama EPL musim ini, kini mengumpul 35 mata daripada 17 aksi – sama mata dengan pasukan tangga ketiga, Newcastle dan lima mata di depan Tottenham yang menduduki tangga kelima.
"Saya gembira dengan keputusan ini," kata Ten Hag, yang berada dalam musim pertamanya di kelab. "Hari ini bukanlah aksi terbaik kami. Kami perlu jujur, kami tidak bermain bijak sebagai sebuah pasukan.
"Kami menjaringkan gol yang hebat, tapi ketika itu kami agak bernasib baik, dan sebahagian aksi menyelamat baik dari David (de Gea). Kami boleh menjadi lebih bijak sebagai sebuah pasukan."
Rashford kembali ke dalam kesebelasan utama United di Old Trafford menentang Bournemouth, yang hanya dua mata di atas zon penyingkiran.
Penyerang England itu diketepikan ketika berdepan Wolves Sabtu lalu selepas terlebih tidur dan tidak menghadiri mesyuarat tetapi masuk dari bangku simpanan untuk mendapatkan gol kemenangan.
Dia kembali hari ini sebagai seorang daripada empat pertukaran bersama Harry Maguire, Victor Lindelof dan Donny van de Beek.
Lisandro Martinez, yang kembali beraksi selepas kejayaan Argentina di Piala Dunia, hanya dimasukkan pada minit ke-88 selepas mempamerkan pingat kemenangannya sebelum sepak mula. - AFP