LONDON: Liverpool tewas secara komprehensif 3-1 di tangan Brentford awal pagi tadi dan perlawanan itu menonjolkan masalah dihadapi pasukan kendalian Juergen Klopp yang perlu ditangani dan kelab itu mesti bertindak ketika jendela perpindahan bulan ini.
Untuk menyatakan Brentford berhak menang ke atas Liverpool sesuatu yang meremehkan. The Bees berkerumun di kawasan Liverpool dalam 45 minit pertama di barat London, menghasilkan bentuk tekanan bertali arus yang selama ini menjadi 'makanan' Liverpool.
Mereka mendahului 2-0 menerusi gol sendiri Ibrahima Konate dan jaringan Yoane Wissa. Malahan Liverpool kelihatan rapuh dan terdedah setiap kali Brentford menyerang, terutamanya menerusi sepakan sudut dan hantaran lintang.
Kesilapan pertahanan menyelubungi persembahan The Reds pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti Gtech itu dan mereka mungkin melepaskan beberapa gol lagi jika tidak kerana kegopohan jentera serangan tuan rumah.
Menurut data Opta, pasukan Klopp memberikan 51 peluang besar musim ini dan mereka hanya bermain 17 perlawanan musim ini. Jumlah itu sekali ganda berbanding pasukan di atas mereka dalam carta. Mereka sudah dibolosi 22 gol musim ini manakala musim lalu benteng pertahanan melepaskan hanya 26 gol dalam 38 perlawanan.
Bagi pasukan yang mengimpikan untuk mengekalkan tempat dalam kelompok empat teratas musim ini dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan, angka itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan sesuatu perlu dilakukan sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.
Bahagian tengah dan pertahanan kebanyakannya berusia terutama tengah, yang tidak boleh lagi menawarkan bantuan kepada benteng pertahanan seperti sebelum ini. Fabinho, Thiago Alcantara dan Jordan Henderson sama ada hilang sentuhan atau cedera musim ini, dan ketiga-tiganya jarang sekali diturunkan bersama. Dua daripada trio itu melebihi usia 30 tahun dan Fabinho tidak jauh di belakang.
Masalah di tengah turut mendedahkan kepincangan di benteng pertahanan. Virgil van Dijk tidak konsisten musim ini, cemerlang pada satu perlawanan, teruk pada perlawanan berikutnya. Kecederaan Konate menjejaskan perkembangan pemain Perancis itu pada 2022-23 dan Joe Gomez serta Joel Matip sering keluar masuk dalam pasukan, dengan kedua-duanya dilihat tidak sebagus musim-musim sebelum ini.
Selain itu, dengan Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold turut berdepan prestasi terumbang-ambing, Klopp tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan pemain baharu.
Masalah pertahanan boleh dikikis oleh bahagian tengah yang mantap, namun bahagian tengah sudah pasti isu terbesar kelab itu sekarang. Ia sesuatu yang perlu ditangani pada musim panas lalu, tetapi Klopp memutuskan untuk menangguhkannya hingga ke musim depan.
Selepas mendapat khidmat penyerang Belanda, Cody Gakpo, Klopp kini perlu memantapkan jentera tengah dan pertahanannya dengan beberapa muka baharu jika mahu terus bersaing untuk merebut kelompok empat teratas dengan kini di tangga keenam, empat mata di belakang kelayakan ke Liga Juara-Juara.