Isnin, 2 Januari 2023 | 2:12pm
Benteng Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) bersaing dengan pemain Leicester, Jamie Vardy ketika aksi EPL di Anfield, minggu lalu. Liverpool menang 2-1. - Foto REUTERS.
Benteng Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) bersaing dengan pemain Leicester, Jamie Vardy ketika aksi EPL di Anfield, minggu lalu. Liverpool menang 2-1. - Foto REUTERS.

Van Dijk janji pertingkat benteng jumpa Brentford

LONDON: Pemain Liverpool akan berbincang sesama sendiri secara terbuka mengenai kelemahan benteng pertahanan mereka akhir-akhir ini sebelum memburu kemenangan kelima berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Brentford, awal pagi esok.

Anak buah Juergen Klopp bernasib baik mengalahkan Leicester 2-1 untuk mengekalkan cabaran layak ke Liga Juara-Juara dengan The Foxes terlepas banyak peluang dan kemudian menghadiahkan Liverpool dengan dua gol sendiri menerusi Wout Faes.

Pertahanan The Reds, Virgil van Dijk menyatakan persembahan dari segi bertahan "amat teruk ketika ini" dan menegaskan mereka akan memperbaikinya dalam latihan sebelum bertandang ke London.

"Kami berjaya memenangi perlawanan itu yang mana ia amat penting tetapi ada perkara yang perlu diperbaiki dan kami akan bincang mengenainya. Kami sedar kami boleh bertindak lebih baik dan ia pastinya satu perlawanan sukar di London. Brentford sudah tentu tampil penuh dengan keyakinan (selepas menewaskan West Ham)."

Sementara itu, pertahanan kanan Trent Alexander-Arnold percaya penyerang muda Darwin Nunez akan mula menjaringkan gol dengan kerap seperti bas London.

Nunez menerima sorakan gamat oleh The Kop selepas persembahan mengagumkan secara keseluruhannya ketika menang ke atas Leicester awal pagi kelmarin tetapi setakat ini penyerang Uruguay berharga £64 juta (RM340 juta) itu kurang efektif di depan pintu gol lawan dengan hanya lima gol dalam EPL.

Ian Rush dan Luis Suarez turut memulakan karier mereka di Anfield agak perlahan dan Alexander-Arnold yakin nasib Nunez akan berubah tidak lama lagi.

"Ada yang menyatakan dia terlepas beberapa peluang termasuk peluang satu sama satu dengan penjaga gol lawan tetapi dia berjaya meletakkan dirinya dalam posisi itu dan apabila gol hadir, saya yakin ia akan datang seperti bas London," kata pertahanan England itu.

"Kami hanya menunggu saat itu tetapi dia seorang pemain yang fantastik dan menakjubkan.

"Orang akan menilainya menerusi jumlah golnya dan ia perkara biasa bagi seorang penyerang, ia sebahagian daripada kehidupan.

"Tetapi saya fikir dia boleh meninggalkan padang dengan rasa bangga kerana dia sering kali menjadi ancaman utama pasukan lawan."

Klopp turut menanti sama ada boleh menurunkan pertahanan kiri Andy Robertson, yang dianugerah MBE dalam senarai penerima pingat Tahun Baharu, ketika pemain Scotland itu mengejar masa untuk memulihkan diri daripada kecederaan kaki sebelum berdepan The Bees.

Berita Harian X