LIVERPOOL: Cody Gakpo mendedahkan rakan sepasukan Belanda, Virgil van Dijk berjaya meyakinkannya untuk menyertai Liverpool.
Penyerang Belanda berusia 23 tahun itu melengkapkan pemeriksaan kesihatan di Melwood semalam untuk menyempurnakan kontrak selama lima tahun setengah itu.
"Kami sering berhubung sejak beberapa hari lalu. Virgil memberitahu saya sekarang adalah masa yang sesuai untuk menjadi pemain lebih baik.
"Selain sebuah kelab yang besar, Liverpool juga seperti sebuah keluarga - dan ia amat penting buat saya. Saya gembira dia di sini, jadi dia boleh membantu saya dalam banyak hal. Saya gembira berada di sini," kata Gakpo.
Liverpool dilaporkan membayar sehingga 45 juta pound (RM239.8 juta) kepada PSV Eindhoven bagi mendapatkan khidmat pemain muda Belanda itu.
Gakpo hadir dengan reputasi cemerlang susulan prestasinya di Belanda dan dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United.
Dia terbabit dalam 66 gol sejak awal musim lalu dengan 30 daripadanya hadir dalam 24 perlawanan musim ini.
Gakpo turut cemerlang bersama Belanda di Piala Dunia Qatar, di mana dia menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.
"Banyak perkara menarik tentang Cody. Dia baru 23 tahun tetapi sudah mempunyai banyak pengalaman. Dia adalah kapten PSV, pemain terbaik di Belanda musim lalu dan mengharungi Piala Dunia yang hebat.
"Namun dia berpotensi menjadi lebih baik," kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp. - AGENSI