LONDON: Penampilan dua pemain muda, Stefan Bajcetic dan Ben Doak serta berita terkini kehadiran penyerang Belanda, Cody Gakpo ke Anfield mencetus sinar buat Liverpool yang masih belum terlambat untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
Ketika pengurus Juergen Klopp sudah seakan-akan mengibar bendera putih terhadap cabaran mereka memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kemenangan 3-1 di Aston Villa awal pagi tadi sekurang-kurangnya menghidupkan peluang untuk kembali beraksi di Eropah.
Klopp, yang sering memberi peluang kepada bakat muda untuk membuktikan kebolehan mereka di Anfield, melakukannya sekali lagi dengan menurunkan pemain tengah berusia 18 tahun Bajcetic dan Doak, pemain pertahanan berusia 17 tahun ketika menentang Villa.
Percaturannya itu membuahkan hasil apabila Bajcetic memastikan The Reds tidak berputih mata dengan gol ketiga sekali gus menafikan cabaran lawan, yang sebelum ini mencatat dua kemenangan liga berturut-turut di bawah pengendali baharu dari Sepanyol, Unai Emery.
Tiada siapa mungkin menyangka Klopp akan menurunkan Bajcetic bagi menggantikan Jordan Henderson ketika Villa mengancam dan merapatkan kedudukan 2-1 menerusi Ollie Watkins dengan berbaki 10 minit. Apatah lagi pengalaman EPL Bajcetic hanya aksi 20 minit terakhir ketika menang 9-0 ke atas Bournemouth, Ogos lalu.
Dalam masa tiga minit, bagaimanapun kepercayaan Klopp ditebus. Pemain berusia 18 tahun itu menjadikan kedudukan 3-1 dengan penyudah tenang dan bersahaja untuk memastikan Liverpool kembali ke aksi EPL selepas rehat enam minggu dengan tiga mata penting.
Ia menjadikan Bajcetic penjaring gol ketiga paling muda dalam era EPL buat Liverpool dengan hanya Michael Owen dan Raheem Sterling lebih unggul di depannya.
Ia saat yang tidak akan dilupakan Bajcetic, gol pertamanya dalam kancah bola sepak Inggeris apabila dia menggelecek penjaga gol Robin Olsen sebelum melepaskan rembatan melepasi kawalan pertahanan Tyrone Mings.
Penyerang Uruguay, Darwin Nunez pasti mengecewakan peminat YNWA (You'll Never Walk Alone) selepas beberapa kali mensia-siakan peluang terbaik untuk menambah gol ketika hanya berdepan Olsen.
Dia juga sering kali terperangkap dengan ofsaid dan memandangkan kepantasan lariannya, ia sesuatu yang perlu dielakkannya selepas ini untuk menjadi antara penyerang terbilang EPL.
Jika dia boleh memperbaiki masa lariannya dan melakukan jaringan pada masa genting, Liverpool pasti mampu menjadi ancaman utama apatah lagi Mohamed Salah masih berada di tahap terbaik apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima.
Bagaimana pentingnya kemenangan ini buat The Reds belum dapat ditentukan tetapi selepas pasukan tangga keempat Tottenham terikat 2-2 di Brentford malam tadi, ia mungkin cara paling ideal untuk mencetus tekanan berterusan terhadap pasukan di atas mereka.
Dengan tiga mata dalam tangan, tempat ke Liga Juara-Juara semakin berada dalam jangkauan dengan perbezaan empat mata dan kehadiran Gakpo dari PSV Eindhoven dengan yuran perpindahan £37 juta (RM197 juta), tiada apa lagi yang boleh menghalang Klopp dan anak buahnya untuk berasa optimis mengenai masa depan.