YANGON, Myanmar: Kapten pasukan negara, Safawi Rasid tidak mahu kempunan lagi apabila tekad membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF kali ini dalam penampilan ketiganya di saingan serantau itu.
Katanya, aksi pertama menentang Myanmar di Stadium Thuwanna di sini, esok cukup penting bagi memastikan impiannya itu menjadi kenyataan.
"Kami akan berikan terbaik pada saingan kali ini untuk melepasi peringkat kumpulan. Saya sudah tiga kali main kejohanan ini...untuk tahun ini (edisi kali ini) bukan saja saya, pasukan dan staf mahu memastikan misi mendapatkan trofi ini.
"Jadi apa yang berlaku kami kena bagi yang terbaik untuk bawa balik trofi ini," katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.
Safawi, 25, sebenarnya hampir untuk mendakap Piala AFF pada 2018, namun tertangguh selepas skuad negara yang dikendalikan Tan Cheng Hoe ketika itu tumbang 3-2 secara agregat di tangan Vietnam.
Kempen lebih suram ditempuh Safawi pada edisi di Singapura tahun lalu, apabila Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan biarpun tonggak sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tampil cukup berbisa dengan meledak empat gol, termasuk hatrik ketika menewaskan Laos.
Ditanya mengenai suasana pasukan menjelang aksi pertama di depan 2,000 penyokong tuan rumah itu nanti, Safawi yang bakal berhijrah ke Liga Thailand, Ratchaburi FC akui 'mood' pasukan amat baik.
"Pasukan ini bukan saja menggabungkan pemain junior dan senior, tapi kami ada semangat yang tinggi dalam pasukan dan kami percaya kami mampu menang dalam kejohanan ini," katanya.