PARIS: Penyokong memenuhi dataran di tengah Paris hari ini bagi memberikan sambutan hangat kepada pasukan bola sepak Perancis walaupun tewas kepada Argentina pada final Piala Dunia.
Penyokong memenuhi Place de la Concorde di tengah Paris bagi menyambut pasukan yang dibawa terus ke situ selepas mendarat di lapangan terbang dari Qatar.
Mereka tampil di balkoni Crillon Hotel yang menghadap dataran berkenaan.
Walaupun mengalami kekecewaan, semua 24 pemain Perancis termasuk penyerang Kylian Mbappe yang gagal membawa kegemilangan walaupun meledak hatrik buat Perancis, dilihat dekat balkoni dan melambai tangan kepada penyokong.
"Secara jujur, ia menakjubkan, ia menceriakan, adalah satu penghormatan untuk menjadikan rakyat Perancis bangga dan gembira," kata penyerang, Marcus Thuram kepada TF1 TV.
"Kami mahu melihat mereka (penyokong) apabila pulang dari Doha kerana itu yang kami mahu lakukan dengan berjumpa dan berterima kasih atas sokongan mereka," katanya.
Penjaga gol dan kapren, Hugo Lloris memberitahu TF1 ada peluang untuk "menyambut mereka (penyokong), untuk berterima kasih atas sokongan dan kesakitan dialami semalam, untuk mencari sedikit kelegaan."
Penyokong sebelum itu terus tertanya-tanya sepanjang hari sama ada pemain yang kecewa akan terus ke Paris bagi bertemu mereka. - AFP