Isnin, 19 Disember 2022 | 7:55am
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Perancis di Stadium Lusail dekat Qatar. - REUTERS
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Perancis di Stadium Lusail dekat Qatar. - REUTERS

Messi akan tentukan sendiri masa depannya

DOHA: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menyatakan terpulang kepada Lionel Messi memutuskan sama ada dia mahu beraksi pada satu lagi Piala Dunia ketika negara Amerika Selatan itu meraikan kemenangan dramatik ke atas Perancis pada final awal pagi tadi.

Scaloni, yang kelihatan penuh emosi ketika sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Lusail, memuji pemainnya kerana "berjuang bersungguh-sungguh" untuk memenangi Piala Dunia ketiga buat negara itu.

Pada perlawanan yang tidak akan dilupakan di Doha, Argentina unggul 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas hatrik Kylian Mbappe memastikan pertembungan itu berakhir 3-3 susulan masa tambahan.

Messi, 35, menjaringkan dua gol untuk memenangi Piala Dunia sulung buatnya sepanjang karier gemilangnya.

Pada awalnya, dia mendedahkan kejohanan di Qatar itu akan menjadi yang terakhir buatnya tetapi Scaloni berkata, penyerang veteran itu berhak membuat keputusan sendiri.

Jurulatih itu memberitahu wartawan terpulang kepada Messi untuk menetapkan jangka masa mengenai persaraannya apabila ditanya kemungkinan dia beraksi pada Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

"Jika dia mahu terus bermain, dia akan bersama kami," kata Scaloni. "Dia lebih daripada berhak untuk memutuskan sama ada dia mahu kekal beraksi dengan Argentina atau tidak atau apa yang mahu dilakukan dalam kariernya.

"Dia seorang pemain yang hebat buat kami. Satu kegembiraan buat kami untuk melatihnya dan rakan sepasukannya. Segala yang disampaikannya kepada rakan sepasukannya tiada tandingan, sesuatu yang tidak pernah saya lihat sebelum ini."

Selepas perlawanan itu, Messi berazam untuk terus beraksi di peringkat antarabangsa di sebalik memenuhi impian sepanjang hayatnya tetapi dia mengakui kariernya kini di penghujung.

"Saya mahu terus mengharungi beberapa perlawanan lagi sebagai juara dunia... karier saya hampir berakhir kerana ini adalah tahun-tahun terakhir saya," kata Messi, dengan sasaran berikutnya adalah membantu kelabnya Paris Saint-Germain merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat julung kali. – AFP

Berita Harian X