Ahad, 18 Disember 2022 | 10:55pm
Penyokong Argentina memenuhi Stadium Lusail untuk saksikan pasukan mereka menentang Perancis. - AP
Penyokong Argentina memenuhi Stadium Lusail untuk saksikan pasukan mereka menentang Perancis. - AP

Sanggup bayar RM48,358 untuk sekeping tiket

DOHA: Tiket untuk perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina menentang Perancis, malam ini secara rasminya sudah habis terjual.

Namun, masih ada peminat yang berharap dapat membelinya pada saat akhir supaya impian mereka untuk menyaksikan perlawanan epik itu tidak terlepas.

Dilaporkan, ada peminat yang sanggup membelinya daripada pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan di atas angin di pekarangan stadium dengan harga 9,000 pound (RM48,358) iaitu berkali ganda daripada harga asal.

Bagi aksi final itu, tiket yang dijual untuk kategori 1 berharga RM7,098 sekeping, kategori 2 (RM4,430), kategori 3 (RM2,668), dan kategori empat (RM910).

Sementara itu, sistem Metro Qatar mengalami kesesakan luar biasa apabila beribu-ribu penyokong Argentina mahu menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia antara pasukan itu menentang Perancis di Stadium Lusail.

Metro adalah laluan utama untuk penyokong pergi ke stadium, yang menjadi venue pertempuran kedua-dua pasukan.

Jawatankuasa Tertinggi, yang telah menyelia persiapan untuk kejohanan itu, berkata pegawai keselamatan 'menghentikan' orang ramai di pintu masuk Metro sebelum membenarkan mereka masuk ke stesen utama untuk melancarkan pergerakan.

Pemandu teksi pula terpaksa menurunkan beberapa penyokong 50 minit dari Stadium Lusail untuk mengelakkan kesesakan.

Qatar Rail mengesahkan tempoh masa menunggu menjadi lebih panjang bagi perkhidmatan metro kerana permintaan yang tinggi.

'Semua stesen Metro Doha kini mengalami permintaan yang tinggi," dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

'Akses ke stesen tertangguh dan masa menunggu dijangka menjadi lebih panjang. Kami memohon maaf di atas kesulitan yang mungkin timbul. Kami akan memberikan perkembangan terkini kepada anda jika terdapat perubahan.'

Stadium Lusail mempunyai kapasiti 88,966.

Kira-kira 50,000 penyokong Argentina dijangka menghadiri aksi final berkenaan, manakala 6,000 penyokong Perancis dijangka berada di dalam Stadium Lusail. - AGENSI

Berita Harian X