Ahad, 18 Disember 2022 | 8:22pm
Southgate kekal kendali England sehingga Euro 2024. - Foto AFP
Southgate kekal kendali England sehingga Euro 2024. - Foto AFP

Southgate kekal kendali England

LONDON: Persatuan Bola Sepak England (FA England) mengesahkan Gareth Southgate kekal sebagai jurulatih England biarpun pasukan itu tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia di Qatar.

Pengendali berusia 52 tahun itu sebelum ini, berkata dia memerlukan masa bagi memutuskan mengenai masa depannya selepas menyaksikan anak buahnya tewas di tangan juara bertahan, Perancis sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Bagaimanapun, dia disahkan akan kekal mengendalikan skuad The Three Lions sehingga tamat kempen Euro 2024.

"Kami gembira untuk mengesahkan bahawa Gareth Southgate akan meneruskan tugas sebagai pengurus England dan akan mengetuai kempen Euro 2024 kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif FA England, Mark Bullingham.

"Gareth dan (penolong jurulatih) Steve Holland sentiasa mendapat sokongan penuh kami dan perancangan kami untuk Euro bermula sekarang."

England sehingga sekarang masih kemarau kejuaraan Piala Dunia sejak kali terakhir memenanginya pada 1966 tetapi di bawah kendalian Southgate pasukan itu berjaya mara ke separuh akhir edisi 2018 selain melangkah ke final Euro tahun lalu.

Kontrak baharu Southgate akan tamat pada Disember 2024.

Misi England untuk menamatkan penantian bagi menjulang trofi utama berakhir Sabtu lalu selepas tewas 1-2 di tangan Perancis yang berjaya mara ke final dan akan bertemu Argentina. - AFP

Berita Harian X