Ahad, 18 Disember 2022 | 8:18pm
Pengendali Argentina, Lionel Scolani (kiri) dan jurulatih Perancis, Didier Dechamps. - Foto ihsan Sports Illustrated
Pengendali Argentina, Lionel Scolani (kiri) dan jurulatih Perancis, Didier Dechamps. - Foto ihsan Sports Illustrated

Apa perlu dilakukan Argentina, Perancis rangkul kejuaraan

DOHA: Ini bukanlah final yang dijangkakan ketika Piala Dunia bermula selepas Perancis bergelut dengan krisis kecederaan sementara Argentina dimalukan Arab Saudi pada aksi pembukaan.

Namun dua pasukan itu menempah pertembungan di final yang menyaksikan kedua duanya turun dengan misi untuk mencipta sejarah tersendiri.

Jika Argentina menang, Lionel Messi menamatkan penantian untuk menjulang trofi yang belum pernah dimenanginya lagi, sementara Perancis pula bakal menjadi penyandang pertama mempertahankan kejuaraan selepas Brazil pada 1962.

Jadi apa yang perlu dilakukan kedua dua pasukan untuk menjadi juara?

ARGENTINA

*Jangan berbelas kasihan

Belanda meledak dua gol selepas minit ke-83 termasuk satu pada masa tambahan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum sepakan penalti penentuan. Argentina tidak melakukan kesilapan sama ketika berdepan Croatia dengan menyudahkan peluang awal yang ada sekali gus tidak memberi talian hayat kepada Croatia. Perancis kadang kala 'hilang' dalam perlawanan dan jika itu berlaku di final, skuad Albiceleste perlu menggunakan kesempatan yang ada untuk menghukum lawan.

* Lupakan apa yang dipertaruhkan

Messi begitu terdesak untuk memenangi Piala Dunia dan rakan sepasukan juga terdesak untuk membantu Messi memenangi trofi, namun mereka perlu lupakan perkara itu kerana jika tidak, mereka tidak dapat bermain dengan tenang. Messi beraksi dengan begitu cemerlang - lihatlah bagaimana dia membuatkan Josko Gvardiol 'berpusing' sebelum mencipta gol kedua Julian Alvarez ketika menentang Croatia. Bermain tanpa sebarang kongkongan di minda dan tidak perlu fikirkan apa makna kemenangan itu dan legasi Messi akan menyelesaikannya sendiri.

* Sekat Kylian Mbappe

Seperti Messi, bintang muda Perancis itu juga memiliki kemampuan untuk mencipta ruang, memintas mengatasi pertahanan dan mencetuskan sesuatu dengan bola seperti dilakukan ketika berdepan Maghribi. Pertahanan Argentina perlu menutup Mbappe di bahagian sisi dan cuba 'menolak' Mbappe bermain di tengah supaya lebih ramai pemain boleh mengawalnya kerana risikonya lebih rendah berbanding membiarkan dia bebas 'menari nari' di bahagian sayap.

PERANCIS

* Kekal fokus

Perancis ada tabiat untuk 'hilang' dalam perlawanan khususnya selepas mendahului dan meskipun belum dihukum dengan kekurangan itu, Argentina memiliki kaliber berbeza berbanding lawan yang pernah dihadapi mereka. Jika mereka hilang intensiti untuk jangka masa panjang dan gagal mengawal Messi, mungkin mereka akan kecewa di pentas final nanti.

*Jangan perkecilkan pemain muda Argentina

Pemain muda Argentina turut memperagakan aksi yang cemerlang dengan tujuh daripada 12 Argentina dijaringkan pemain yang berusia 24 tahun ke bawah dan pertama kali beraksi di Piala Dunia. Alvarez meledak empat gol dan Enzo Fernandez (22 tahun), Nahuel Molina dan Alexis Mac Allister (24 tahun) meledak satu gol dengan Fernandez dan Molina turut melakar satu bantuan gol. Didier Deschamps sendiri mengingatkan barisan pemainnya di mana Argentina kali ini jauh berbeza berbanding empat tahun lalu.

* Tidak mengganggu percaturan sedia ada

Karim Benzema sudah pulih daripada kecederaan paha yang membuatkan dia diketepikan daripada Piala Dunia dan Real Madrid memberikan kebenaran kepada pemenang Ballon d'Or itu untuk kembali menyertai Perancis. Perancis mungkin teruja untuk menggunakan khidmat penyerang itu pada aksi final namun Perancis nampaknya baik-baik sahaja tanpa kelibatnya apatah lagi penggantinya, Olivier Giroud meledak empat gol setakat ini. Memasukkan Benzema akan menggangu rentak dan keserasian Perancis di perlawanan penting sebegini. - AGENSI

Berita Harian X