Ahad, 18 Disember 2022 | 6:33pm
Dari atas kiri: Lionel Messi, Emiliano Martinez, Julian Alvarez. Bawah kiri: Kylian Mbappe, Aurelien Tchouameni, Antoine Griezmann.
Dari atas kiri: Lionel Messi, Emiliano Martinez, Julian Alvarez. Bawah kiri: Kylian Mbappe, Aurelien Tchouameni, Antoine Griezmann.

Bintang tumpuan aksi final Piala Dunia 2022

DOHA: Pentas Piala Dunia semakin menghampiri penghujungnya dengan kemuncak di Qatar kali ini bakal menemukan juara dua kali, Argentina yang akan berdepan penyandang juara, Perancis di Stadium Lusail, di sini, malam ini.

Tumpuan pastinya terarah kepada bintang Argentina, Lionel Messi dan juga bintang Perancis, Kylian Mbappe, namun kelibat beberapa pemain yang lain harus diawasi seandainya tidak mahu 'kempunan' menjulang trofi kebanggaan itu.

Berikut adalah tiga pemain yang dilihat bakal memegang 'kunci' dalam misi pasukan masing-masing memburu 'mahkota' tertinggi bola sepak.

Pemain tumpuan Argentina

Lionel Messi
Penjaring terbanyak Argentina dan Piala Dunia 2022 dengan lima gol setakat ini, kelicikannya perlu diawasi kerana bukan setakat mampu menjaringkan gol namun tiga bantuan gol turut dilakukan sekali gus menyaksikan pertahanan Perancis perlu 'bekerja lebih masa'

Emiliano Martinez
Penjaga gawang ini sedang berada dalam prestasi terbaik dan beban besar pasti disandarkan Argentina ke atas bahunya selain turut memiliki kelebihan jika perlawanan diheret ke sepakan penalti penentuan

Julian Alvarez
'Senjata rahsia' Argentina di Qatar kerana dalam diam pemain ini sudah meledak empat gol dan pemain muda ini disifatkan mampu mencetus impak selepas dimasukkan jika pemain lain buntu memecah benteng Perancis

Pemain tumpuan Perancis

Kylian Mbappe
Jika Argentina ada Messi, Perancis ada Mbappe yang dilihat sebagai ancaman terbesar buat Argentina yang perlu 'didiamkan' dan Naheul Molina bakal 'sibuk' pada malam ini - lima gol dan 25 percubaan gol dilakukannya setakat ini

Aurelien Tchouameni
Kehilangan tonggak Piala Dunia 2018, Paul Pogba dan N'Golo Kante tidak dirasai kerana pemain ini menjadi 'hibrid' di bahagian kreativiti dan bertahan dengan cemerlang dengan statistik FIFA mencatatkan pemain ini melakukan hantaran terbanyak buat Les Bleus (399)

Antoine Griezmann
Percaturan Didier Deschamps menukar posisi daripada pemain sayap ke pemain tengah berhasil dengan pemain ini menjadi antara sumber gol buat Perancis dan menjadi perancang yang mantap apabila tiga bantuan gol dilakukan Griezmann setakat ini.

Berita Harian X