Ahad, 18 Disember 2022 | 5:27pm
Pemain skuad Harimau Malaya, Lee Tuck (kanan) giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam bagi menghadapi saingan Piala AFF 2022. - Foto ihsan FB FAM.
Pemain skuad Harimau Malaya, Lee Tuck (kanan) giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam bagi menghadapi saingan Piala AFF 2022. - Foto ihsan FB FAM.

Tugas berat menanti Lee Tuck saingan Piala AFF

KUALA LUMPUR: Dua gol dalam dua penampilan awal bersama skuad kebangsaan sudah cukup untuk meletakkan Lee Tuck sebagai pemain tumpuan peminat skuad Harimau Malaya di pentas Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Pemain naturalisasi itu meledak satu gol pada penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya ketika mengalahkan Kemboja 4-0 dan menyumbang satu lagi gol selepas masuk sebagai pemain gantian berdepan Maldives.

Persembahannya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa itu mendapat pujian banyak pihak, namun sebenarnya tugas lebih berat kini dipikul Tuck pada Piala AFF yang akan membuka tirai minggu depan.

Apa yang pasti, impak lebih besar diharapkan seluruh peminat dan ia tidak mustahil dapat ditunaikan pemain kelahiran England itu berdasarkan kualiti yang dimilikinya.

Berusia 34 tahun, Tuck dilihat memainkan peranan yang baik di bahagian serangan dan mempunyai kemahiran dalam menyempurnakan peluang di depan gol.

Selain Tuck, Faisal Halim boleh dianggap sebagai ayam tambatan skuad negara di Piala AFF kali ini dengan dia dilihat pemain paling menyerlah dalam aksi berdepan Kemboja dan Maldives.

Walaupun bertubuh kecil, namun keberaniannya menggelecek pemain lawan selain berupaya meledak gol dan melakukan umpanan kepada rakan sepasukan menjadi kelebihan penyerang berusia 24 tahun itu.

Ketajaman penyudah dimiliki Faisal tidak boleh disangkal lagi berdasarkan prestasinya sepanjang musim ini dan dia meledak dua gol berdepan Kemboja selain menyumbang satu gol ketika mengatasi Maldives 3-0.

Seorang lagi pemain yang berstatus kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid juga masih diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk menggalas misi negara di Piala AFF.

Selain gandingan Faisal dan Tuck, taring skuad Harimau Malaya sebenarnya boleh menjadi lebih tajam seandainya Safawi berjaya mendapatkan semula sentuhan berbisanya.

Selain mereka, beberapa muka baharu yang menyertai skuad negara ke Piala AFF 2022 juga sangat diharapkan dapat memberikan aksi terbaik terutama seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero.

Skuad Harimau Malaya membawa misi besar di Piala AFF kali ini bagi memadam mimpi ngeri tersingkir awal pada edisi 2020 dengan anak buah Pan Gon akan mengharungi aksi pertama Kumpulan B berdepan Myanmar di Yangon, Rabu ini.

Info pasukan Malaysia -

Nama gelaran: Harimau Malaya

Ketua jurulatih: Kim Pan Gon

Kapten: Safawi Rasid

Gelanggang rasmi: Stadium Nasional, Bukit Jalil

Ranking FIFA: 146

Penampilan di Piala AFF: 13 kali (pertama 1996)

Pencapaian terbaik: Juara 2010

Berita Harian X