DOHA: Ia sudah menjadi lagu kebangsaan tidak rasmi Argentina pada Piala Dunia 2022: "Muchachos, Ahora Nos Volvimos a Ilusionar" (Pemain, kami menaruh harapan sekali lagi) dinyanyikan dengan penuh bersemangat di dalam stadium, di pasar terkenal Doha, Souq Waqif dan oleh pemain Argentina di bilik persalinan.
Lagu itu mendedahkan pelbagai cerita. Liriknya merujuk kepada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona hingga ke bintang semasa pasukan itu Lionel Messi, kegagalan Piala Dunia terdahulu yang memilukan, kejayaan Copa America tahun lalu dan harapan terkini untuk memenangi trofi Piala Dunia kali ketiga di Qatar.
Populariti lagu itu melonjak di media sosial tahun lalu selepas Argentina mengalahkan Brazil 1-0 pada final Copa America. Awal tahun ini, Messi berkata ia adalah lagu bola sepak kegemarannya dan video dia menyanyikan beberapa bait lagu itu menjadi tular.
Namun apa yang dinyanyikan oleh peminat dan pemain itu adalah versi adaptasi lagu Muchachos 2003 oleh kumpulan punk Buenos Aires, La Mosca.
Liriknya ditulis semula oleh penyokong Argentina, Fernando Ramos. Diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, lagu itu bermakna seperti berikut:
Saya dilahirkan di Argentina
tanah tumpah Diego dan Lionel,
daripada anak-anak Malvinas,
yang tidak akan saya lupakan.
Saya tidak dapat menjelaskannya kepada anda
kerana anda tidak akan faham
perlawanan akhir kita kalah,
Bertahun-tahun saya meratapinya
Tetapi ia sudah berakhir
kerana di Maracana,
perlawanan akhir dengan brazucas,
kita mengalahkan mereka lagi.
Pemain, kini kami teruja semula,
Saya mahu menang yang ketiga
Saya mahu menjadi juara dunia
dan Diego, di langit kita boleh melihatnya,
dengan Don Diego dan dengan la Tota,
mencetus inspirasi Lionel.
Penulis bola sepak Karan Tejwani percaya lagu Muchachos adalah "lagu Piala Dunia" dan bukan hanya bagi mereka yang bertutur bahasa Sepanyol.
"Saya tidak bertutur bahasa Sepanyol, begitu juga ramai orang yang saya kenali, tetapi kami tahu maknanya. Begitulah popularnya lagu ini. Saya menganggapnya sebagai salah satu lagu bola sepak kegemaran saya," kata penulis sukan yang berpangkalan di Britain itu.
Tejwani, pengarang buku Glorious Reinvention: The Rebirth of Ajax Amsterdam, berkata lirik itu juga menceritakan pasang surut karier antarabangsa Messi.
"Ia menyebut bagaimana peminat semakin menyayanginya dan sekalipun selepas bertahun-tahun mengkritik, mereka akhirnya menganggap dia sama seperti Maradona.
"Bagi Argentina, Piala Dunia ini, konteks dan faktor Messi, lagu itu sangat bagus dan ia melangkaui bola sepak," katanya.
Piala Dunia di Qatar adalah peluang terakhir buat Messi untuk menjulang satu-satunya trofi yang masih belum berada dalam genggaman sepanjang karier gemilangnya. Kali terakhir La Albiceleste memenangi Piala Dunia pada tahun 1986, apabila Maradona mengetuai pasukan itu muncul juara.
Argentina berdepan penyandang juara Perancis pada perlawanan akhir Piala Dunia malam ini dan kehadiran ribuan peminat Argentina pasti menyaksikan 'Muchachos' bergema di seluruh Stadium Lusail.