DOHA: Argentina dan Perancis akan bertembung pada final Piala Dunia 2022 di Qatar malam esok. Dalam kedua-dua pasukan itu, ada antara mereka tersenarai dalam kelompok pemain terbaik dunia dan sesetengahnya beraksi di kelab yang sama.
Ketika mereka menjadi rakan sekelab bagi sebahagian besar kempen liga, malam esok mereka akan bermusuh dalam usaha merebut trofi paling diidamkan dalam dunia bola sepak.
Messi dan Mbappe
Perseteruan utama menampilkan Lionel Messi dan Kylian Mbappe. Kedua-duanya kini menjadi pendahulu bersama penjaring gol terbanyak Piala Dunia dengan lima gol dan juga bersaing hebat untuk merebut anugerah pemain terbaik kejohanan itu.
Kedua-duanya adalah bintang ternama di Paris Saint-Germain (PSG) dan bakal menjadi tumpuan utama malam esok. Ia juga perlawanan yang boleh memberi kesan kepada siapa yang akan memenangi anugerah berprestij Ballon d'Or tahun depan.
Ketika PSG muncul antara kelab pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara, memiliki Piala Dunia Qatar dalam kabinet trofi mereka pasti memberikan kelebihan tambahan.
Molina, De Paul, Correa dan Griezmann
Di sebalik persembahan buruk Atletico Madrid ketika ini, di peringkat antarabangsa mereka mempunyai beberapa wakil di final.
Rodrigo De Paul, Nahuel Molina dan Angel Correa tampil bersama Argentina. Selain itu, Antoine Griezmann bertindak cemerlang bersama Perancis pada kejohanan kali ini.
Di Maria, Paredes dan Rabiot
Juventus adalah pasukan Serie A Itali dengan wakil terbanyak pada final Qatar 2022.
Wakil Argentina termasuk Leandro Paredes dan Angel Di Maria, kedua-duanya berpindah dari PSG ketika jendela perpindahan terakhir.
Bagi pasukan Perancis, mereka ada Adrien Rabiot, pemain tengah berpengalaman yang menghabiskan beberapa musim di Turin.
Menarik untuk diperhatikan bagaimana tingkah laku mereka di tengah padang, terutamanya kerana mereka belum menghabiskan banyak masa bersama sebagai rakan sepasukan di kelab.
Martinez dan Varane
Dua pemain pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez dan Raphael Varane dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama oleh Lionel Scaloni dan Didier Deschamps malam ini.
Martinez bermula agak gugup ketika tiba di United awal musim ini tetapi ketika Varane mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan, keyakinannya mula menebal dan mempamerkan aksi meyakinkan di Qatar setakat ini.
Romero dan Lloris
Dua lagi bintang Liga Perdana Inggeris akan bertembung sesama sendiri malam ini dengan pemain pertahanan Cristian Romero sebelum ini sering menjadi pembantu penjaga gol Perancis, Hugo Lloris dalam memastikan gol Tottenham Hotspur tidak dibolosi.
Namun dia berharap rakan sekelabnya di London itu yang juga kapten Les Bleus mampu dibolosi oleh pemain senegaranya termasuk Messi bagi menjamin kejuaraan buat Argentina.