LONDON: Pengendali England, Gareth Southgate mahu terus memegang jawatan itu sehingga tamat Kejuaraan Eropah 2024, lapor media Inggeris.
Southgate, 52, akan memaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) akan hasratnya itu sebelum Krismas. Namun FA belum memberikan maklum balas berhubung perkara itu.
England tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar selepas tewas 2-1 kepada Perancis.
"Setiap kali selepas tamat kejohanan, anda memerlukan masa untuk membuat keputusan tepat. Anda akan merasai emosi berbeza ketika ini," kata Southgate.
Southgate, yang membimbing England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia dan final Euro 2020 tahun lalu, menandatangani kontrak baharu sehingga akhir tahun 2024 pada November tahun lalu. - REUTERS