DOHA: Luka Modric mengetuai Croatia merangkul pingat gangsa Piala Dunia awal pagi tadi dan mendedahkan dia akan meneruskan karier antarabangsanya hingga tahun 2023 dalam usaha untuk memenangi Liga Negara-Negara Eropah.
Pemain berusia 37 tahun itu meraih penampilan ke-162 ketika kemenangan 2-1 ke atas Maghribi, empat tahun selepas membantu negaranya muncul naib juara Piala Dunia di belakang Perancis.
Croatia kini akan cuba mengungguli pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah Jun depan yang menampilkan empat pasukan termasuk Belanda, Itali dan Sepanyol.
"Itulah perancangannya. Mengarutlah kalau tidak bermain dalam Liga Negara Eropah dan kemudian kita akan lihat bagaimana untuk meneruskannya. Saya pastinya mahu kekal bagi Liga Negara," kata Modric apabila ditanya jika dia mahu terus beraksi pada peringkat antarabangsa.
Croatia tewas kepada Argentina yang diketuai Lionel Messi pada separuh akhir Piala Dunia namun Modric menegaskan pasukannya sudah mengukuhkan kedudukan mereka dalam kalangan pasukan terkuat sukan itu.
"Kami meraih sesuatu yang penting bagi bola sepak Croatia. Kami mahukan emas, kami hampir melakukannya.
"Akhirnya, kami pulang ke Croatia sebagai pemenang. Croatia bukannya satu keajaiban yang muncul setiap 20 tahun. Kami buktikan kami mampu kekal bersaing, kami tidak boleh dilihat sebagai pasukan kejutan tetapi sebagai kuasa bola sepak," katanya.
Sekalipun Modric berhasrat untuk terus beraksi pada peringkat antarabangsa, pengendali Zlatko Dalic mengakui pemain senior lain mungkin sebaliknya.
"Ia penamat satu kitaran. Ia Piala Dunia terakhir bagi sesetengah pemain berusia. Tetapi kami mempunyai beberapa pemain muda yang bagus yang memberikan kami harapan, (Josip) Stanisic, (Mislav) Orsic, ramai pemain di bangku simpanan. Kami memiliki pasukan yang amat bagus bagi masa depan.
"Croatia tidak bimbang dengan generasi ini. Apa yang menanti kami adalah Liga Negara-Negara dan kelayakan ke Euro," kata Dalic. – AFP