Ahad, 18 Disember 2022 | 7:21am
Pengendali Maghribi, Walid Regragui berkata, dia percaya pasukan dari benua Afrika akan memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun. - Foto AFP
Pengendali Maghribi, Walid Regragui berkata, dia percaya pasukan dari benua Afrika akan memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun. - Foto AFP

Pasukan Afrika mampu menang Piala Dunia - Regragui

DOHA: Pengendali Maghribi, Walid Regragui berkata, dia percaya pasukan dari benua Afrika akan memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun dari sekarang, selepas pasukannya menamatkan saingan di tempat keempat di Qatar.

Singa Atlas, yang menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia dalam sejarah kejohanan, tewas 2-1 dalam penentuan tempat ketiga kepada naib juara 2018, Croatia.

Piala Dunia seterusnya pada tahun 2026, yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, akan dilebarkan kepada 48 pasukan dan Afrika bakal mempunyai sembilan slot - daripada lima ketika ini.

"Dengan sembilan pasukan, kami akan dapat belajar. Dalam 15, 20 tahun, saya pasti pasukan Afrika akan memenangi Piala Dunia kerana kami sudah mempelajarinya.

Pengendali Maghribi, Walid Regragui (kiri) membisikan sesuatu kepada pengurus Croatia, Zlatko Dalic sejurus tamat perlawanan. - Foto AP
Pengendali Maghribi, Walid Regragui (kiri) membisikan sesuatu kepada pengurus Croatia, Zlatko Dalic sejurus tamat perlawanan. - Foto AP

"Kami mempunyai peringkat untuk dilalui. Kami perlu bermula dari situ, dengan kerja keras dan keazaman. DNA ini bukan saja dibina untuk Maghribi, tetapi seluruh benua," kata Regragui.

Maghribi menjuarai peringkat kumpulan yang turut dibarisi Croatia dan Belgium, sebelum menewaskan Sepanyol dan Portugal untuk mara ke pusingan empat terakhir.

Perjalanan mereka tamat di separuh akhir selepas tewas kepada juara bertahan, Perancis, tetapi Regragui menggesa pemain-pemainnya menebus kekecewaan itu di Piala Negara-Negara Afrika tahun depan.

"Saya beritahu pemain-pemain di bilik persalinan, jika anda mahu melakar sejarah, anda perlu memenangi Piala Negara-Negara Afrika. Kita perlu menguasai benua kita," katanya.

Maghribi hanya pernah menjuarai kejohanan itu pada tahun 1976, tetapi persembahan mereka di Piala Dunia membuktikan kebangkitan di bawah kendalian Regragui, yang hanya dilantik pada Ogos lalu. - AFP

Berita Harian X