Ahad, 18 Disember 2022 | 2:22am
Pemain dan pegawai Croatia meraikan kejayaan muncul pasukan ketiga terbaik. - Foto AFP
Pemain dan pegawai Croatia meraikan kejayaan muncul pasukan ketiga terbaik. - Foto AFP

Gangsa seperti emas buat Croatia

DOHA: "Pingat gangsa tetapi ia umpama pingat emas bagi kami."

Itu reaksi jurulatih Croatia, Zlatko Dalic selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan Maghribi 2-1 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Dunia di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi.

Josko Gvardiol, salah seorang bintang pada kempen Piala Dunia di Qatar kali ini menanduk masuk untuk meletakkan Croatia di depan pada minit ketujuh sebelum Achraf Dari menyamakan kedudukan buat Maghribi dua minit kemudian.

Croatia meledak jaringan kemenangan tiga minit sebelum rehat babak pertama apabila Mislav Orsic melencongkan bola yang terus ke penjuru.

Pemain Croatia, Luka Modric dan jurulatih, Zlatko Dalic bersama pingat dimenangi mereka selaku pasukan ketiga terbaik Piala Dunia Qatar 2022. - REUTERS
Pemain Croatia, Luka Modric dan jurulatih, Zlatko Dalic bersama pingat dimenangi mereka selaku pasukan ketiga terbaik Piala Dunia Qatar 2022. - REUTERS

"Ia adalah pingat gangsa tetapi bagi kami ia seperti pingat emas.

"Pingat ini adalah untuk rakyat Croatia…ia adalah sesuatu yang membanggakan apabila kami berjaya memenangi dua pingat dalam dua kejohanan, tahniah kepada semua pemain saya," kata Dalic yang turut membawa negara yang hanya mempunyai populasi 4 juta penduduk itu muncul naib juara Piala Dunia di Russia empat tahun lalu.

Reaksi kapten Croatia, Luka Modric (tengah) dan rakan selepas majlis penyampaian hadiah. - Foto Reuters
Reaksi kapten Croatia, Luka Modric (tengah) dan rakan selepas majlis penyampaian hadiah. - Foto Reuters

Sementara itu, jurulatih Maghribi, Walid Regragui, berkata walaupun tewas tetapi dia tetap berbangga dengan pencapaian yang dilakar barisan pemainnya pada kempen kali ini apabila menjadi pasukan pertama dari Afrika berjaya melangkah ke separuh akhir dalam sejarah Piala Dunia.

"Ia kekalahan yang pahit tetapi ia sesuatu yang boleh diterima. Kami mempunyai sebuah pasukan yang tidak pernah berputus asa.

"Kami akan mengingati banyak perlawanan di sini, kami akan bangkit menjadi lebih kuat. Kami berjaya menyatukan negara kami selama sebulan, semua orang gembira," katanya. - AFP

Presiden FIFA, Gianni Infantino (kanan) memeluk kapten Croatia, Luka Modric. - Foto AP
Presiden FIFA, Gianni Infantino (kanan) memeluk kapten Croatia, Luka Modric. - Foto AP

Berita Harian X