Ahad, 18 Disember 2022 | 1:37am
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni ketika sidang akhbar di Doha, Qatar menjelang pertemuan dengan Perancis. - EPA
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni ketika sidang akhbar di Doha, Qatar menjelang pertemuan dengan Perancis. - EPA

Scaloni terus rahsia kesebelasan utama Argentina

DOHA: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni kekal berahsia ketika ditanya mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkannya pada aksi final Piala Dunia menentang Perancis, malam ini.

Scaloni mengelak apabila ditanya sama ada dia akan menggunakan tiga pemain pertahanan seperti yang dia lakukan ketika perlawanan suku akhir menentang Belanda bagi memberi bantuan kepada bek kanan, Nahuel Molina merantai pergerakan pemain bintang Perancis, Kylian Mbappe.

"Kami sudah memutuskan strategi dan kami akan bermain dengan cara yang kami fikir kami boleh mengatasi pencabar kami," kata Scaloni pada sidang media.

"Kami mempunyai perancangan kami yang tersendiri, kami tahu cara bermain untuk menentang mereka dan sekarang kami hanya perlu melaksanakannya.

"Saya harap kami boleh bermain dengan permainan yang sama seperti yang kami lakukan ketika menentang Belanda pada suku akhir - tetapi memenangi perlawanan tanpa perlu melalui penentuan sepakan penalti."

Scaloni melakukan beberapa pertukaran selepas Argentina dikejutkan dengan kekalahan di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan dan membawa masuk dua bintang muda, Enzo Fernandez dan Julian Alvarez yang berjaya menyerlah.

Dia juga melakukan pertukaran dari segi sistem, menggunakan tiga pertahanan menentang Belanda dan tiga pertahanan tengah untuk mengimbangi asakan Croatia yang diketuai Luka Modric. - REUTERS

Berita Harian X