Sabtu, 17 Disember 2022 | 10:24pm
Pemain Croatia, Luka Modric melihat keadaan padang sebelum aksi penentuan tempat ketiga menentang Maghribi di Stadium Antarabangsa Khalifa dekat Doha, Qatar. - REUTERS
Pemain Croatia, Luka Modric melihat keadaan padang sebelum aksi penentuan tempat ketiga menentang Maghribi di Stadium Antarabangsa Khalifa dekat Doha, Qatar. - REUTERS

Croatia, Maghribi buat beberapa pertukaran

DOHA: Croatia dan Maghribi melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama mereka bagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Antarabangsa Khalifa pada jam 11 malam ini dengan kedua-dua jurulatih memberi peluang untuk pemain yang berada di bangku simpanan sepanjang kejohanan kali ini.

Maghribi turun tanpa kelibat kapten mereka, Romain Saiss yang hanya bertahan selama 21 minit ketika tewas di tangan Perancis pada aksi separuh akhir sebelum dia digantikan dengan jurulatih, Walid Regragui enggan mengambil risiko.

"Kami tidak mahu mengambil risiko terutama membabitkan Saiss. Dia akan diketepikan.

"Namun, saya yakin dan percaya dengan kemampuan pemain lain dalam pasukan," katanya menjelang aksi bertemu Croatia itu.

Di benteng pertahanan, Achraf Hakimi dan Jawad El Yamiq mengekalkan posisi mereka dengan Achraf Dari dan Yahya Attiat-Allah disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Saiss dan Nayef Aguerd yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, kapten Croatia, Luka Modric terus diberi kepercayaan bagi mengetuai jentera tengah pasukan itu di samping Mateo Kovacic tetapi Marcelo Brozovic diletakkan di bangku simpanan dan digantikan dengan Lovro Majer.

Marko Livaja dan Mislav Orsic akan mengetuai jentera serangan Croatia.

Kesebelasan utama

Croatia: Dominik Livakovic, Josip Stanisic, Ivan Perisic, Lovro Majer, Mateo Kovacic, Andrej Kramaric, Luka Modric, Marko Livaja, Mislav Orsic, Josko Gvardiol, Josip Sutalo

Maghribi: Yassine Bounou, Achraf Hakimi, Abdelhamid Sabiri, Jawad El Yamiq, Sofyan Amrabat, Hakim Ziyech, Soufiane Boufal, Youssef En-Nesyri, Achraf Dari, Bilal El Khannouss, Yahya Attiat-Allah

- REUTERS

Berita Harian X