Sabtu, 17 Disember 2022 | 10:13pm
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez ketika sidang akhbar di Doha menjelang pertemuan dengan Perancis. - EPA
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez ketika sidang akhbar di Doha menjelang pertemuan dengan Perancis. - EPA

Martinez lebih gemar status Argentina bukan pilihan

DOHA: Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, berkata pasukan Amerika Selatan itu lebih gemar tampil sebagai 'underdog' menjelang aksi final Piala Dunia menentang juara bertahan, Perancis, malam esok.

Martinez, berkata Argentina akan mempertaruhkan pengalaman mereka ketika menjuarai Copa America 2021 selain aksi lincah Lionel Messi untuk menghadapi aksi final yang akan berlangsung di Stadium Lusail itu.

Tahun lalu, Argentina muncul juara Copa America selepas menewaskan musuh tradisi, Brazil pada aksi finla di Stadium Maracana di Rio de Janeiro.

Martinez, berkata memori indah yang dicipta dalam perlawanan dengan Brazil itu dan dengan kehadiran Messi, Argentina tidak gentar untuk berdepan Les Bleus.

"Apabila kami menang di Brazil, pasukan pilihan adalah Brazil," kata Martinez. "Kami sentiasa suka mendengar bahawa lawan adalah pilihan kerana kami tidak berasa lebih hebat atau rendah daripada mereka.

"Dan ia situasi yang sama sekarang - orang ramai menganggap pasukan pilihan adalah Perancis. Namun, kami mempunyai pemain terhebat sepanjang zaman."

Martinez, berkata Messi yang memburu kejuaraan pertama dalam penampilan terakhirnya di Piala Dunia berjaya meningkatkan permainannya ke tahap yang lebih tinggi sejak memberi inspirasi kepada Argentina memenangi Copa America tahun lalu.

"Saya melihat Messi yang hebat dalam Copa America, pemain yang luar biasa, antara yang terbaik," kata Martinez.

"Dan dalam Piala Dunia ini dia mengorak langkah ke hadapan berbanding Copa America.

"Dia bermain lebih baik, dari segi fizikal dan bola sepak. Agak sukar untuk menewaskan Messi daripada Copa America tetapi dia berjaya melakukannya. Ini memberi tenaga kepada seluruh skuad. Dia teruja dan ia sangat membantu kami." - AFP

Berita Harian X