DOHA: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memantau dengan rapi tahap kecergasan beberapa pemain utama ketika pasukan itu dihantui virus misteri menjelang aksi final Piala Dunia menentang Argentina, malam esok.
Berbaki 24 jam sebelum juara bertahan itu berdepan Lionel Messi dan Argentina di Stadium Lusail, Perancis dihantui jangkitan virus yang dipercayai membabitkan lima pemain setakat ini.
Dua tonggak pertahanan tengah, Raphael Varane dan Ibrahimia Konate selain pemain sayap, Kingsley Coman menjadi pemain terbaharu yang mengalami masalah kesihatan dan tidak turun menjalani sesi latihan, semalam.
Situasi itu berlaku dua hari selepas Adrien Rabiot dan Dayot Upamecano terpaksa diketepikan pada aksi separuh akhir menentang Maghribi, Rabu lalu.
Pemain, kakitangan dan sumber lain yang rapat dengan skuad Perancis mendedahkan mengenai pelbagai gejala yang menjejaskan pasukan sejak beberapa hari kebelakangan ini termasuk demam, sakit perut dan sakit kepala.
Deschamps dan kapten Perancis, Hugo Lloris berkata mereka tidak mempunyai maklumat terkini berhubung situasi berkenaan ketika hadir pada sesi sidang media pada jam 11.30 pagi waktu tempatan.
"Saya bertolak agak awal pagi ini dari kem - mereka semua masih tidur," kata Deschamps. "Saya tidak mempunyai sebarang maklumat terbaharu.
"Kami cuba mengambil seberapa banyak langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menyesuaikan diri. Jelas sekali adalah lebih baik jika ini tidak berlaku tetapi kami mengendalikannya sebaik mungkin dengan kakitangan perubatan kami." - AFP