AL RAYYAN: Peningkatan bola sepak Croatia sejak kemerdekaan pada 1991 bukanlah satu keajaiban kerana sejak Piala Dunia 1998, skuad Vatreni mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali dengan hanya Perancis dan Jerman mara ke final sebanyak empat kali.
Selepas mara ke final Piala Dunia 2018, Croatia sekali lagi meninggalkan impak pada edisi kali ini, namun ada satu lagi pasukan bukan pilihan yang lebih signifikan iaitu Maghribi yang mencipta 'kisah dongeng' tersendiri dengan menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal untuk mara ke separuh akhir.
Namun, impian mereka ke final dileburkan Perancis yang memecah benteng kebal wakil Afrika itu dengan dua gol, namun kekecewaan itu masih boleh ditebus apabila berpeluang meraih satu lagi pencapaian berdepan Croatia bagi penentuan tempat ketiga.
Seperti Maghribi, impian Croatia ke final buat kali kedua berturut-turut dimusnahkan Argentina dengan Lionel Messi mencetak satu gol dan mencipta satu bantuan gol untuk meraih kemenangan 3-0.
Berdasarkan sejarah, penentuan tempat ketiga kadangkala menampikan aksi yang menarik seperti kemenangan 3-2 Jerman ke atas Uruguay pada 2010 dan Belanda membelasah Brazil 3-0 pada 2014 hanya selepas Brazil dimalukan Jerman 7-1 pada aksi separuh akhir.
Dengan tiada apa lagi yang perlu 'disimpan', kedua-dua pasukan sering memberikan peluang kepada pemain simpanan dan pendekatan sama mungkin dilakukan bagi aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, malam ini.
Pengendali Croatia, Zlatko Dalic mungkin berpaling pada bangku simpanan kerana mereka ada pemain muda berbakat seperti Luka Sucic dan Lovro Majer selain pemain yang mungkin membarisi kesebelasan utama seperti Bruno Petkovic dan Mislav Orsic.
Maghribi mungkin tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain kurang cergas iaitu Romain sekali gus Badr Benoun mungkin menggantikan Saiss ataupun Walid Regragui mengubah formasi kepada empat pertahanan.
Dengan aksi di Qatar bakal menjadi aksi terakhir buat Luka Modric, Croatia pasti mahu menghadiahkan kemenangan terakhir buat Modric yang jelas menjadi nadi mereka pada kempen kali ini sebelum menggantung but di arena antarabangsa.
Kekuatan Maghribi pula lebih berdasarkan kolektif namun penjaga gol, Yassine Bounou mungkin menjadi penentu dalam misi Maghribi melakar sejarah tersendiri dan tugas Croatia mungkin lebih sukar memandangkan hanya pasukan sebaik Perancis mampu menewaskan Bounou.
Ini adalah pertembungan antara pasukan yang mampu mengheret lawan beraksi selama 120 minit sebelum mengecewakan mereka menerusi sepakan penalti memandangkan pasukan itu dibina dengan kekuatan pertahanan mantap dan penjaga gol yang cemerlang.
Berkemungkinan penentuan tempat ketiga akan dimuktamadkan menerusi sepakan penalti penentuan. - AGENSI