AL RAYYAN: Piala Dunia Qatar menjauhkan diri daripada politik supaya peminat bola sepak boleh meraikan 'sedikit saat keseronokan dan kegembiraan' kata Presiden FIFA, Gianni Infantino hari ini.
Bercakap dua hari sebelum aksi final antara Argentina dan Perancis, Infantino mempertahankan keputusan FIFA tidak membenarkan pasukan menampilkan sebarang mesej pada jersi mereka atau lilitan lengan kapten.
"Ia bukan mengenai halangan. Ia mengenai menghormati undang-undang," katanya dalam sidang akhbar. "Di padang kita bermain bola sepak."
"Anda perlu hormat di mana anda bermain. Ini bukan perkara baharu."
Piala Dunia di negara padang pasir itu mencipta beberapa perbincangan politik dengan sebahagian pasukan menyuarakan rasa bimbang mengenai layanan tuan rumah terhadap imigran, pendekatan mereka terhadap hak LGBT dan ancaman FIFA akan mengenakan hukuman terhadap pemain yang mengeluarkan kenyataan politik.
Persekutuan bola sepak Jerman antara paling kuat menyuarakan pendirian mereka berkaitan lilitan lengan "OneLove" untuk dipakai pemain dan berkata "ugutan ekstrim" dari FIFA dan ancaman untuk digantung menyebabkan Jerman, Denmark, Belgium, Belanda, Wales, England dan Switzerland menarik semula rancangan mereka memakainya.
"Mungkin semua orang ada masalah sendiri. Mereka (peminat) hanya mahu menghabiskan 90 minit atau 100 minit atau 120 dengan penalti tanpa memikirkan benda lain. Hanya meraikan sedikit masa dengan keseronokan dan kegembiraan emosi," kata Infantino.
"Kami perlu memberi peminat seperti ini sedikit masa untuk mereka melupakan masalah dan gembira menonton bola sepak. Di luar bola sepak semua orang boleh menyatakan pandangan dan pendirian mereka." - REUTERS