Jumaat, 16 Disember 2022 | 11:57am
Pengendali Croatia, Zlatko Dalic (kanan) mengharapkan pemain tonggaknya, Luka Modric (kiri) tidak akan menggantung but selepas kempen Piala Dunia di Qatar berakhir. - Foto AFP
Pengendali Croatia, Zlatko Dalic (kanan) mengharapkan pemain tonggaknya, Luka Modric (kiri) tidak akan menggantung but selepas kempen Piala Dunia di Qatar berakhir. - Foto AFP

Dalic harap Modric terus pacu Croatia

AL-RAYYAN: Pengendali Croatia, Zlatko Dalic mengharapkan pemain tonggaknya, Luka Modric tidak akan menggantung but selepas kempen Piala Dunia di Qatar berakhir.

Masa depan pemain berusia 37 tahun itu menjadi tumpuan selepas Croatia tersingkir di peringkat separuh akhir apabila tewas 3-0 di tangan Argentina dan ramai percaya perlawanan itu akan menjadi aksi terakhirnya bersama Croatia.

Bercakap kepada pemberita, Dalic mengakui 'dia (Modric) begitu kecewa dengan kekalahan yang ternyata begitu berat untuk dirinya. Jadi ia logik seandainya dia berfikir (mengenai persaraan) kerana ia sesuatu yang sukar.

"Saya harap dia dapat kekal bersama skuad kebangsaan. Sudah tentu keputusan itu perlu dibuat olehnya sendiri. Kami ada satu lagi perlawanan dan selepas itu, kita akan bercakap mengenainya.

"Tetapi satu perkara yang sukar juga buat saya sekiranya Modric mengucapkan selamat tinggal," kata Dalic.

Malah Dalic turut menegaskan ketiadaan Modric bukan sahaja satu kerugian buat Croatia malah buat bola sepak dunia juga.

"Kalau Luka mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan, sudah tentu ini satu kerugian buat penyokong di seluruh dunia. Satu dunia menghormati Modric.

"Lebih bagus jika dia terus beraksi," katanya.

Sebelum kembali ke Real Madrid, pemain tengah legenda itu masih ada tugas yang perlu diselesaikan iaitu aksi penentuan tempat ketiga berdepan Maghribi, malam esok. - AGENSI

Berita Harian X