Jumaat, 16 Disember 2022 | 8:08am
Hanya satu kemenangan memisahkan Lionel Scaloni daripada menyertai legenda kejurulatihan sepanjang zaman Argentina - pemenang Piala Dunia, Cesar Luis Menotti dan Carlos Bilardo. - Foto AGENSI
Hanya satu kemenangan memisahkan Lionel Scaloni daripada menyertai legenda kejurulatihan sepanjang zaman Argentina - pemenang Piala Dunia, Cesar Luis Menotti dan Carlos Bilardo. - Foto AGENSI

Scaloni tutup mulut pengkritik

DOHA: Hanya satu kemenangan memisahkan Lionel Scaloni daripada menyertai legenda kejurulatihan sepanjang zaman Argentina - pemenang Piala Dunia, Cesar Luis Menotti dan Carlos Bilardo.

Mengisi 'kerusi panas' itu secara interim selepas era Jorge Sampaoli pada tahun 2018, Scaloni, 44, berjaya membimbing Albiceleste yang kini hanya selangkah daripada gelaran juara dunia buat kali ketiga.

Pelantikannya selepas Argentina tersingkir di pusingan 16 terbaik di Russia disambut dengan kritikan dan tidak diterima oleh pihak yang beranggapan dia tidak memiliki kelayakan yang diperlukan.

Mendiang Diego Maradona yang juga bekas pengurus Argentina memuji karakter Scaloni namun memberitahu akhbar Clarin 'dia tidak mampu mengarahkan lalu lintas'.

Scaloni tiada pengalaman sebagai ketua jurulatih dengan dia sepatutnya mengendalikan pasukan itu hanya bagi tempoh dua bulan sementara persekutuan mencari pengganti Sampaoli.

Dia menerima skuad yang 'hampir juara' - kekalahan final Piala Dunia 2014 disusuli kekecewaan dua final Copa America berturut turut di tangan Chile pada tahun 2015 dan 2016.

Isu terbesar Scaloni adalah masa depan Lionel Messi yang bersara seketika pada tahun 2016 namun bintang itu kagum dengan visi Scaloni selain kehadiran idolanya, Pablo Aimar dalam barisan kejurulatihan serta bekas pemain seperti Roberto Ayala dan Walter Samuel.

Scaloni membentuk pasukannya dengan cara tersendiri apabila 19 daripada 26 pemainnya beraksi buat kali pertama di Qatar.

"Dia membantu mencungkil pemain seperti (Nahuel) Molina, Cristian Romero, Lisandro Martinez dan Alexis) Mac Allister, yang memberikan identiti kepada pasukan serta paling penting peluang untuk (Leo) Messi," kata penjaring gol kemenangan pada final 1986, Jorge Burruchaga.

Argentina akan beraksi di pentas final kali keenam berdepan Perancis namun Scaloni tidak menganggap dirinya setaraf dengan jurulatih terbaik negara itu seperti Menotti, Bilardo dan Alejandro Sabella yang membawa mereka ke final 2014.

"Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan jurulatih lain. Satu kebanggaan kepada saya utnuk membawa pasukan ke final dan mewakili pasukan kebangsaan.

"Tetapi saya tidak setaraf dengan mereka. Satu kelebihan buat saya untuk berada di final," kata Scaloni.

Scaloni turut membimbing Argentina melakar rekod 36 perlawanan tanpa kalah menuju ke Piala Dunia dengan kejayaan terbesar adalah merangkul Copa America 2021 di Brazil sekali gus menamatkan kemarau trofi selama 28 tahun.

Selepas tewas 2-1 di tangan Arab Saudi yang menamatkan rekod kemenangan mereka, Argemntina menang lima perlawanan berturut turut - satu lagi kemenangan akan membolehkan Scaloni melakar apa yang belum pernah diraih Menotti dan Bilardo sebelum ini - memenangi Copa America dan Piala Dunia. - AFP

Berita Harian X