Khamis, 15 Disember 2022 | 9:31am
Insiden membabitkan pemain Maghribi, Sofiane Boufal (kiri) dan Theo Hernandez dalam kotak penalti Perancis ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS
Insiden membabitkan pemain Maghribi, Sofiane Boufal (kiri) dan Theo Hernandez dalam kotak penalti Perancis ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS
Pengadil Cesar Ramos melayangkan kad kuning kepada pemain Maghribi, Sofiane Boufal ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Maghribi di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS
Pengadil Cesar Ramos melayangkan kad kuning kepada pemain Maghribi, Sofiane Boufal ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Maghribi di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS

Peminat kecam kad kuning Boufal

AL KHOR, Qatar: Peminat membantah layangan kad kuning ke atas pemain Maghribi, Sofiane Boufal, sebaliknya percaya penalti sepatutnya diberikan kepada pasukan Afrika itu ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt.

Insiden berkenaan berlaku di pertengahan babak pertama apabila pertahanan Perancis, Theo Hernandez bertembung dengan Boufal di dalam kotak penalti.

Pengadil, Cesar Ramos menyalahkan Boufal dalam pelanggaran terbabit dan dia dilayangkan kad kuning.

Bagaimanapun ulang tayang menyaksikan keputusan itu sepatutnya berpihak kepada Maghribi, yang sepatutnya mendapat sepakan penalti.

Pengulas sukan di Studio BBC, Alan Shearer dan Rio Ferdinand, mempunyai pendapat berbeza berkenaan insiden itu.

Ferdinand percaya Maghribi sepatutnya diberikan sepakan penalti manakala Shearer berfikiran sebaliknya.

"Tidak, tidak bagi saya. Hernandez mendapat bola, tetapi ia bukan kad kuning," kata bekas pemain England, Shearer.

Ferdinand, yang juga bekas pemain England berkata: "Saya rasa di mana-mana di atas padang, ia adalah kekasaran, jadi mengapa ia bukan penalti? Ia keputusan yang silap. Saya rasa ia penalti, dia tidak sepatutnya dilayangkan kad kuning."

Seorang lagi bekas pertahanan England, Stuart Pearce turut menyokong Ferdinand: "Saya rasa ia lebih kepada penalti untuk Maghribi berbanding sepakan percuma untuk Perancis."

Isu sama turut menjadi perbualan hangat di media sosial dengan salah seorang peminat berkata: "Keputusan yang mengejutkan. Maghribi sepatutnya mendapat sepakan penalti."

Ramos turut dikecam peminat dengan salah seorang menulis: "Keputusan mengarut oleh pengadil, ia bukan kekasaran oleh Maghribi, pastinya bukan kad kuning."

Lebih parah lagi, laman wikipedia Ramos turut diubah dengan dia digambarkan sebagai "penyokong Perancis". - AGENSI

Berita Harian X