AL KHOR, Qatar: Antoine Griezmann berkata Perancis akan terus berpijak di bumi nyata selepas juara bertahan Piala Dunia itu menewaskan Maghribi 2-0 pada aksi separuh akhir untuk bertemu Argentina di final.
Penyerang Atletico Madrid itu menjadi arkitek kejayaan Perancis di Piala Dunia Qatar, di mana Les Bleus dalam usaha menjadi pasukan pertama mengekalkan kejuaraan selepas 60 tahun.
"Empat tahun lalu selepas (kemenangan 1-0 di separuh akhir ke atas) Belgium, saya menangis, tetapi sekarang saya lebih fokus untuk Ahad.
"Daripada meraikan kejayaan ke final, kami terus berpijak di bumi nyata. Kami fokus kepada pemulihan dan bersedia untuk perlawanan itu," kata Griezmann.
Jaringan awal bek kiri, Theo Hernandez dan gol lewat permainan Randal Kolo Muani membawa Perancis ke final Piala Dunia keempat dalam tujuh kejohanan, menamatkan perjalanan epik Maghribi.
"Maghribi mengagumkan saya. Mereka mempunyai taktikal yang baik, bertahan dan menyerang. Selepas rehat, mereka memberikan masalah kepada kami.
"Gol awal menjadikan keadaan lebih mudah buat kami. Gol kedua membuatkan kami lebih selesa. Ia perlawanan yang sukar, perkara-perkara kecil yang membezakannya," katanya.
Perancis akan bertemu Argentina di Stadium Lusail Ahad ini.
Bagi Griezmann, pasukan yang mempunyai Lionel Messi di dalamnya, adalah di tahap yang berbeza.
Griezmann dan pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu pernah bergandingan ketika mereka di Barcelona. - AFP