Rabu, 14 Disember 2022 | 11:13am
Permintaan untuk jersi Maghribi di Souq Waqif, Doha melonjak sejak kemaraan pasukan itu ke separuh akhir Piala Dunia Qatar. - Foto AGENSI
Permintaan untuk jersi Maghribi di Souq Waqif, Doha melonjak sejak kemaraan pasukan itu ke separuh akhir Piala Dunia Qatar. - Foto AGENSI

Jersi Maghribi laris di Souq Waqif

DOHA: Kejayaan tidak diduga Maghribi pada Piala Dunia Qatar 2022 memeningkan kepala penjual di Souq Waqif, Doha.

Jersi replika pasukan Afrika Utara itu habis dijual dan masih mendapat permintaan yang tinggi.

Beberapa hari menjelang kejohanan itu bermula, kedai yang terletak di lorong sempit di pasar ikonik di tengah pusat bandar itu mula mengubah daripada mempamerkan pakaian dan aksesori Arab kepada jersi berwarna warni, selendang dan bendera negara yang bertanding pada Piala Dunia.

Argentina, Brazil dan tuan rumah Qatar menjadi pasukan paling popular dalam kalangan peminat bola sepak yang membanjiri pusat pelancongan itu dalam beberapa minggu pertama Piala Dunia.

Kini Maghribi, yang berdepan Perancis pada separuh akhir Piala Dunia awal pagi esok, mengambil alih sebagai pasukan paling popular dalam kalangan penyokong.

"Pada November, kami biasanya menjual beberapa jersi Maghribi setiap hari daripada berdozen yang kami tempah," kata peniaga Muhammad Sadiq beberapa jam selepas Maghribi menewaskan Portugal untuk muncul pasukan pertama Afrika dan Arab layak ke separuh akhir dalam sejarah 92 tahun kejohanan itu.

Sebaik Maghribi mula mengutip mata pada peringkat kumpulan, permintaan terhadap jersi dan barangan cenderamata pasukan itu semakin melonjak. Permintaan semakin tinggi selepas Atlas Lions menyingkirkan Sepanyol dan Portugal pada peringkat kalah mati.

"Setiap kali Maghribi menang, kami akan menempah beratus-ratus lagi jersi mereka dan ia habis dijual menjelang tengah hari pada hari perlawanan berikutnya," katanya.

Sejak pasukan itu layak ke separuh akhir, beribu-ribu peminat hadir di Doha dari segenap pelusuk dunia.

Sejurus tiba di Doha, persinggahan pertama mereka adalah Souq Waqif dan barangan pertama dalam senarai pembelian mereka sama ada jersi atau bendera Maghribi.

Ada juga sesetengah peminat tempatan Doha yang mula menyokong Maghribi selepas persembahan mengagumkan mereka pada pusingan kalah mati.

"Saya tidak menyokong Maghribi sehinggalah saya menyaksikan mereka mengalahkan pasukan ternama Eropah," kata Yousuf Ahmed, seorang peminat bola sepak dari India, ketika dia tercari-cari jersi Maghribi di kedai Sadiq.

"Saya mencari jersi mereka selama berhari-hari tetapi setiap kali saya datang ke sini ia sudah habis dijual, jadi saya terpaksa berpuas hati dengan bendera sahaja," katanya. – AGENSI

Berita Harian X