Rabu, 14 Disember 2022 | 2:20am
Seorang penyokong Argentina memegang kain rentang gambar Lionel Messi dan Diego Maradona sebelum pertemuan dengan Croatia di Stadium Lusail. - REUTERS
Seorang penyokong Argentina memegang kain rentang gambar Lionel Messi dan Diego Maradona sebelum pertemuan dengan Croatia di Stadium Lusail. - REUTERS

Messi bakal menyamai rekod Matthaus

DOHA: Bintang Argentina, Lionel Messi akan menyamai rekod Lothar Matthaus menerusi penampilan terbanyak di Piala Dunia dengan permulaan ke-25 pada aksi separuh akhir menentang Croatia sebentar lagi.

Pemain tengah, Leandro Paredes dan pertahanan, Nicolas Tagliafico juga diletakkan dalam kesebelasan utama Argentina.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menamakan Tagliafico menggantikan pertahanan kiri yang digantung permainan, Marcos Acuna dan Paredes mengambil tempat pertahanan tengah, Lisandro Martinez.

Pertukaran itu bermakna Argentina tampak akan menggunakan empat pemain di belakang berbanding lima pertahanan dengan bantuan dua pemain sayap yang digunakan mereka ketika penentuan penalti menentang Belanda.

Scaloni mengekalkan barisan penyerang sama ketika beroperasi menentang Belanda dengan Messi bermain di belakang Julian Alvarez.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menamakan skuad sama yang menewaskan Brazil menerusi penalti pada kelompok lapan terakhir dengan Andrej Kramaric bermula selaku penyerang tengah.

Penyerang, Bruno Petkovic yang meledak gol pada masa tambahan seterusnya memaksa penentuan penalti, sekali lagi bermula di bangku simpanan. - AFP

Berita Harian X