Isnin, 12 Disember 2022 | 1:38pm
Penyokong Argentina yang hadir memberi sokongan di Piala Dunia Qatar 2022.
Penyokong Argentina yang hadir memberi sokongan di Piala Dunia Qatar 2022.

Pemain ke-12 nadi Argentina

DOHA: Lionel Messi dan Argentina yang memburu mahkota kejuaraan ketiga Piala Dunia sedang dirangsang dengan gerombolan penyokong mereka yang mengubah setiap perlawanan di Qatar seperti beraksi di laman sendiri.

Venue ikonik bolasepak Argentina seperti Bombonera atau Monumental sememangnya terkenal dengan suasana meriah dan memiliki atmosfera paling menarik dalam dunia bola sepak.

Senario itu boleh dilihat di Stadium Lusail di sini, di mana puluhan ribu penyokong Argentina menukarnya seperti lautan biru putih dan menjadikan arena itu gegak gempita.

Argentina sudah beraksi tiga perlawanan di stadium yang memuatkan 88,966 tempat duduk itu, di mana Messi dan rakannya akan berentap menentang Croatia awal pagi Rabu ini, untuk mengintai tempat ke final Piala Dunia.

Selepas kebanyakan perlawanan Argentina, skuad "Albiceleste" terus berada di atas padang sejurus wisel penamat dibunyikan, untuk berkongsi emosi dan detik-detik indah bersama penyokong mereka.

"Kami suka mengambil kesempatan daripada detik-detik ini bersama orang ramai yang berada di sini dan di Argentina, di mana semua orang gembira," kata Messi selepas kemenangan suku akhir ke atas Belanda, Jumaat lalu.

Berdasarkan kedutaan Argentina di Qatar, antara 35,000 hingga 40,000 penyokong hadir ke Piala Dunia untuk memberikan sokongan, sekali gus menjadi antara kontinjen penyokong luar paling ramai sepanjang kejohanan.

Sokongan yang ramai itu ditambah pula dengan ribuan pekerja asing dari India dan Bangladesh yang berpangkalan di Qatar, di mana Messi dan Argentina mendapat sokongan meluas.

"Berbanding Perancis, Argentina tidak berada di tahap sama sebagai satu pasukan - tetapi mereka mendapat manfaat daripada sokongan penyokong mereka di sini," kata bekas penyerang Perancis kelahiran Argentina, David Trezeguet kepada AFP.

Pada akhir setiap kemenangan dan selepas menyertai penyokong menyanyi, pemain Argentina akan mengulangi kata-kata bahawa mereka beraksi untuk '45 juta' rakyat negara itu.

"Apa yang saya lakukan, saya lakukan untuk 45 juta orang. Mereka sedang melalui tempoh ekonomi yang teruk. Memberi kegembiraan kepada orang ramai adalah perkara terbaik yang boleh saya lakukan pada masa ini," kata penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Berita Harian X