Isnin, 12 Disember 2022 | 7:49am
Pemain Croatia menjalani sesi latihan menjelang aksi separuh akhir menentang Argentina Rabu ini. - REUTERS
Pemain Croatia menjalani sesi latihan menjelang aksi separuh akhir menentang Argentina Rabu ini. - REUTERS

'Argentina bukan sekadar Messi'

DOHA: Croatia tidak hanya menyasarkan untuk merantai bintang Argentina, Lionel Messi, sebaliknya fokus menghalang keseluruhan pasukan lawan itu pada aksi separuh akhir Piala Dunia, Rabu ini.

Croatia memburu tempat ke final buat kali kedua berturut-turut di Piala Dunia selepas tewas kepada Perancis pada 2018.

Mereka menyingkirkan pasukan pilihan Brazil di suku akhir selepas bangkit daripada ketinggalan dengan jaringan penyamaan pada lewat masa tambahan sebelum memenangi penentuan sepakan penalti.

"Kami tidak mempunyai perancangan khusus untuk menyekat Messi dan kebiasaannya kami tidak fokus kepada seseorang pemain sebaliknya keseluruhan pasukan lawan," kata penyerang Bruno Petkovic dalam sidang media semalam.

"Kami akan menyekat mereka sebagai satu pasukan dan bukannya kawalan secara individu. Argentina bukan hanya sekadar Messi, mereka memiliki ramai pemain hebat. Kami perlu menghalang satu pasukan Argentina," katanya.

Messi yang memenangi tujuh kali Ballon D'Or setakat ini menjadi nadi Argentina, yang turut memerlukan kemenangan penentuan sepakan penalti selepas mendahului dua gol menentang Belanda pada aksi suku akhir.

Bruno Petkovic berebut bola dengan pemain pertahanan Brazil, Thiago Silva (kiri) dan Marquinhos pada aksi perlawanan bola sepak suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Croatia dan Brazil. - Foto AFP
Bruno Petkovic berebut bola dengan pemain pertahanan Brazil, Thiago Silva (kiri) dan Marquinhos pada aksi perlawanan bola sepak suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Croatia dan Brazil. - Foto AFP

Tanpa pemain yang digantung dan cedera susulan kehadiran semula pemain pertahanan Borna Sosa, Croatia yang dikendalikan Zlatko Dalic pasti sudah bersedia dan turun dengan lebih keyakinan.

Barisan tengah mereka diketuai kapten Luka Modric, Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic akan terus menjadi kunci mengawal rentak, seperti dilakukan ketika menentang Brazil, dan pertahanan Josip Juranovic berkata mereka adalah trio berpengaruh.

"Mateo, Luka dan Marcelo adalah barisan tengah terbaik Croatia dalam sejarah. Saya fikir ia tidak dapat diulangi. Apabila anda menghantar bola kepada mereka, ia lebih selamat berbanding menyimpan wang di dalam bank," kata pemain pertahanan itu.

Mateo, Luka dan Marcelo adalah barisan tengah terbaik Croatia dalam sejarah.
Mateo, Luka dan Marcelo adalah barisan tengah terbaik Croatia dalam sejarah.

Pemain gantian, Petkovic menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-117 ketika menentang Brazil sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti, dengan Croatia kini memenangi semua empat penentuan penalti dalam Piala Dunia.

"Saya fikir ramai pemain bukan profesional boleh menyempurnakan sepakan penalti," kata Petkovic.

"Perbezaannya bagaimana kekuatan mental anda. Terdapat tekanan kuat tetapi ia dapat membantu apabila anda memiliki penjaga gol bertaraf dunia." kata Petkovic.

Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menyelamatkan satu sepakan penalti berdepan Brazil selain menepis tiga penalti Jepun pada saingan 16 terbaik. - AFP

Berita Harian X