Ahad, 11 Disember 2022 | 12:21pm
Situasi tegang yang berlaku ketika perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Argentina dan Belanda di Stadium Lusail. - AFP
Situasi tegang yang berlaku ketika perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Argentina dan Belanda di Stadium Lusail. - AFP

FIFA buka kertas siasatan terhadap Argentina

DOHA: Perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Belanda dan Argentina tidak mudah buat Antonio Mateu Lahoz sebagai pengadil.

Pegawai perlawanan dari Sepanyol itu, yang dikritik hebat pemain bola sepak termasuk penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez dan kapten Lionel Messi, terpaksa mengadili perlawanan yang penuh dengan pertengkaran baik secara lisan mahupun fizikal.

Selepas menganalisis setiap perkara yang berlaku di Stadium Lusail, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

FIFA akan menyiasat kemungkinan pelanggaran Artikel 12 berhubung salah laku pemain dan pegawai dan Artikel 16 berkaitan arahan dan keselamatan perlawanan di bawah Kod Tatatertib FIFA ketika perlawanan suku akhir semalam yang dimenangi Argentina menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, perlu tunggu dan lihat jika mereka mendapati mana-mana pihak bersalah dan apa hukuman yang akan dijatuhkan terhadap pemain atau persatuan yang bersalah.

Selain itu, Jawatankuasa Disiplin FIFA turut memulakan siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) kerana kemungkinan melanggar artikel 12 kod disiplin badan induk itu pada perlawanan sama.

Dalam komennya mengenai Mateu Lahoz, Messi jelas sedar dia mungkin akan dihukum jika mengkritik pengadil itu secara berlebihan, jadi dia bercakap secara berlapik.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil kerana mereka akan menghukum anda, tetapi kami sudah bimbang sebelum perlawanan kerana kami tahu apa yang boleh dijangkakan (dengan Mateu Lahoz)," kata Messi.

"Saya tidak boleh katakan apa yang saya fikir, tetapi FIFA perlu melihat perkara ini.

"(FIFA) tidak boleh memilih pengadil sepertinya bagi perlawanan ini apabila beliau tidak berada pada tahap sepatutnya," tambahnya. – AGENSI

Berita Harian X