Ahad, 11 Disember 2022 | 8:40am
Pemain Perancis Adrien Rabiot dan Olivier Giroud (tengah) meraikan kegagalan Harry Kane menyempurnakan sepakan penati pada aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Bayt. - AP
Pemain Perancis Adrien Rabiot dan Olivier Giroud (tengah) meraikan kegagalan Harry Kane menyempurnakan sepakan penati pada aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Bayt. - AP

Kegagalan penalti hantui Kane

DOHA: Kapten England, Harry Kane mengakui dia perlu menerima hakikat kegagalan sepakan penaltinya menjadi punca England tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia di tangan juara bertahan, Perancis awal pagi tadi.

Penyerang itu menyamakan kedudukan di Stadium Al Bayt menerusi sepakan penalti pertama sekali gus menyaksikan dia menyamai rekod 53 gol buat England yang dipegang Wayne Rooney.

Dia berpeluang menjadikan kedudukan 2-2 selepas Mason Mount dikasari Theo Hernandez namun kali ini, sepakan penaltinya 'menuju bulan'.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, Kane terduduk dan memandang ke permukaan padang sebelum berjalan dengan tangisan lalu ditenangkan pengendali England, Gareth Southgate.

"Saya bukanlah orang yang berfikir terlalu banyak, persediaannya tetap sama tak kiralah saya mendapat satu penalti ataupun dua penalti dalam satu perlawanan," katanya yang berdepan rakan sepasukannya di Tottenham, Hugo Lloris.

"Saya tidak boleh salahkan persediaan saya sebelum perlawanan, itu tidak ada bezanya. Saya yakin untuk mengambilnya cuma ia tidak menjadi seperti yang saya inginkan.

"Sudah tentu saya perlu terima kenyataan ini. Tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah bangga antara satu sama lain dan percaya pasukan ini berada pada tempat yang terbaik untuk masa depan."

Pengurus England, Gareth Southgate menenangkan Harry Kane selepas aksi suku akhir Piala Dunia menentang Perancis di Stadium Al Bayt. - AP
Pengurus England, Gareth Southgate menenangkan Harry Kane selepas aksi suku akhir Piala Dunia menentang Perancis di Stadium Al Bayt. - AP

Kegagalan Kane itu menyaksikan dia mengikut jejak langkah beberapa pemain England yang pernah berdepan situasi sama seperti Southgate, Chris Waddle dan Stuart Pearce walaupun ketiga-tiga insiden itu terjadi pada sepakan penentuan penalti dan bukan dalam masa sebenar permainan.

"Seperti yang anda lihat, dia benar-benar kecewa tetapi tiada apa yang perlu dikecewakan olehnya.

"Kami berada pada kedudukan ketika ini juga adalah kerana kepimpinan dan jaringan yang dilakukannya," kata Southgate. -REUTERS

Berita Harian X