Ahad, 11 Disember 2022 | 7:22am
Pemain Perancis meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia selepas menundukkan England 2-1 di Stadium Al-Bayt. - AFP
Pemain Perancis meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia selepas menundukkan England 2-1 di Stadium Al-Bayt. - AFP

Semangat 2018 julang Perancis

AL-KHOR, QATAR: Didier Deschamps hanya melakukan satu pertukaran lewat permainan ketika Perancis menewaskan England 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia pagi tadi, namun juara bertahan itu diperkasa dengan kekuatan kolektif yang tidak tergugat dalam pasukan itu.

Kelemahan Les Bleus adalah kekurangan dari segi bangku simpanan dan Deschamps sekadar memasukkan Kingsley Coman bagi menggantikan Ousmane Dembele pada minit ke-79, hanya selepas Olivier Giroud meledak gol kemenangan di Stadium Al Bayt.

Kemenangan itu dibantu dengan kegagalan Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 yang pasti mengikat kedudukan namun Deschamps menegaskan pemain Perancis mendapat kekuatan daripada pemain gantian.

Pengendali Perancis, Deschamps (tengah) meraikan kejayaan bersama pemainnya, Kylian Mbappe (kiri) dan Antoine Griezmann sejurus tamat perlawanan menentang England. - Foto AFP
Pengendali Perancis, Deschamps (tengah) meraikan kejayaan bersama pemainnya, Kylian Mbappe (kiri) dan Antoine Griezmann sejurus tamat perlawanan menentang England. - Foto AFP

"Kami sama-sama bekerja dan pemain gantian sentiasa memberi dorongan," kata penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, Giroud yang meledak empat gol di Qatar.

"Ini mengingatkan saya kepada semangat 2018. Saya harap kita dapat mara sejauh mungkin kerana pasukan ini layak mendapat sesuatu yang indah.

"Kami mendapat kunjungan daripada menteri sukan, presiden persekutuan dan juga (pemenang Piala Dunia 1998), Lilian Thuram serta (naib juara Piala Dunia 2006), Claude Makelele. Sangat indah untuk menyaksikan semua generasi ini gembira meraikan kejayaan bersama."

Deschamps yang memenangi Piala Dunia sebagai kapten pada 1998 dan jurulatih pada 2018 pula menegaskan atmosfera hebat dalam kem Perancis membantu mereka kekal tenang apabila mereka seakan tertekan dengan 'pasukan England yang hebat'.

"Kami ada kualiti dan juga kekuatan mental serta pengalaman. Saya juga ada pemain muda tetapi semangat kolektif yang membawa pasukan ini maju ke depan.

"Dalam perlawanan penting seperti malam ini, itu yang menjadi perbezaan," katanya.

Didier Deschamps memeluk penjaga gol, Hugo Lloris sementara pemain dan pasukan meraikan kejayaan menumpaskan England. - Foto REUTERS
Didier Deschamps memeluk penjaga gol, Hugo Lloris sementara pemain dan pasukan meraikan kejayaan menumpaskan England. - Foto REUTERS

Perancis kini berada pada landasan tepat untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan selepas Brazil pada 1962 namun Deschamps enggan berfikir lagi mengenai separuh akhir berdepan Maghribi yang terus mencipta kejutan.

"Kami baru di separuh akhir jadi kami belum membayangkan mengenai trofi.

"Ada langkah seterusnya yang perlu diharungi iaitu perlawanan separuh akhir. Ayuh bergembira dengan apa yang sudah kami capai setakat ini. Sekurang-kurangnya kami memecahkan badi juara bertahan," katanya. -REUTERS

Berita Harian X