Ahad, 11 Disember 2022 | 5:49am
Sepakan penalti kapten England, Harry Kane melambung tinggi ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2022 menentang Perancis di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS
Sepakan penalti kapten England, Harry Kane melambung tinggi ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2022 menentang Perancis di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS

Kane akan kembali lebih kuat - Henderson

AL KHOR: Jordan Henderson percaya kapten England, Harry Kane akan bangkit daripada kekecewaan gagal menyempurnakan penalti pada lewat permainan yang menyaksikan The Three Lions tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas 2-1 di tangan Perancis.

Kane menyamai rekod Wayne Rooney selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman England dengan 53 gol ketika menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penalti pertama yang diperoleh dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, selepas Olivier Giroud kembali meletakkan Perancis di depan, penyerang Tottenham Hotspur itu gagal memanfaatkan peluang kedua untuk menyamakan kedudukan berdepan rakan sepasukannya di Spurs, Hugo Lloris.

Kapten England, Harry Kane terlepas peluang mengheret Perancis ke masa tambahan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan pada aksi suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Bayt, Al Khor, Qatar. - Foto REUTERS

"Kami tahu berapa banyak penalti yang sudah Harry jaringkan untuk kami, dia menjaringkan gol pertama, berapa banyak gol yang dia sumbangkan untuk membawa kami ke sini.

"Dia akan menjadi lebih kuat untuk tempoh jangka masa yang panjang. Dia penyerang bertaraf dunia, kapten kami dan kami tidak akan berada di sini tanpa dia," kata Henderson.

Kekalahan menyaksikan kemarau kejuaraan England dalam kejohanan utama berterusan sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 1966.

Perancis akan bertemu Maghribi pada aksi separuh akhir dan dengan Brazil, Jerman, Sepanyol dan Portugal sudah tersingkir, Henderson mengakui mereka terlepas peluang terbaik untuk menghadiahkan kejuaraan buat England.

"Kami berada pada tahap prestasi terbaik, fokus dan keingginan untuk melakar kejayaan cukup tinggi," tambah pemain tengah Liverpool itu.

"Malangnya ia bukan malam kami. Pujian harus diberikan kepada Perancis, mereka pasukan yang baik. Saya masih merasakan kami mampu menang malam ini." - AFP

Berita Harian X