Sabtu, 10 Disember 2022 | 8:03am
Pengadil Sepanyol, Antonio Mateu Lahoz melayangkan kad kuning kepada Messi pada suku akhir Piala Dunia menentang Belanda di Stadium Lusail. - AFP
Pengadil Sepanyol, Antonio Mateu Lahoz melayangkan kad kuning kepada Messi pada suku akhir Piala Dunia menentang Belanda di Stadium Lusail. - AFP

Lahoz tak layak jadi pengadil - Messi

DOHA: Lionel Messi menyifatkan pengadil Antonio Mateu Lahoz tidak sepatutnya mengadili kemenangan hebat Argentina menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Belanda pada suku akhir Piala Dunia di Stadium Lusail.

Argentina menang menerusi sepakan penalti pagi tadi selepas keputusan seri dramatik 2-2 yang mana pemain gantian Belanda, Wout Weghorst menjaringkan dua gol lewat, termasuk gol penyamaan saat akhir menerusi sepakan percuma yang diberikan apabila German Pezzella menolak Weghorst.

Pengadil dari Sepanyol, Antonio Mateu Lahoz memeriksa keadaan pemain Argentina ketika perlawanan menentang Belanda. - Foto AFP
Pengadil dari Sepanyol, Antonio Mateu Lahoz memeriksa keadaan pemain Argentina ketika perlawanan menentang Belanda. - Foto AFP

"Selepas mereka menyamakan kedudukan, saya berasa amat marah," kata Messi. "Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil, kerana mereka akan segera menegur atau menghukum anda, tetapi saya fikir ramai orang melihat apa yang berlaku.

"FIFA perlu mengkajinya semula, ia tidak boleh menugaskan pengadil sebegitu perlawanan sepenting ini, apabila mereka tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik."

Dia menambah: "Kami tidak bermain dengan hebat, dan kemudian pengadil meneruskannya ke masa tambahan. Beliau sentiasa tidak memihak kami. Sepakan percuma itu tidak sepatutnya diberikan kerana ia bukannya satu kesalahan."

Mateu Lahoz dari Sepanyol melayangkan 16 kad kuning secara keseluruhan, dengan pemain pertahanan Belanda, Denzel Dumfries dibuang padang selepas penentuan sepakan penalti kerana kad kuning kedua.

Pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepada pemain Argentina, Lisandro Martinez. - Foto REUTERS
Pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepada pemain Argentina, Lisandro Martinez. - Foto REUTERS

Messi menjaringkan gol keempatnya pada kejohanan kali ini menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas terdahulu mengumpan untuk gol pembukaan jaringan Nahuel Molina.

Penjaga gol Emiliano Martinez muncul wira, menyelamatkan dua penalti pertama Belanda sebelum Lautaro Martinez meledak penalti kemenangan.

Pengadil perlawanan, Antonio Miguel Mateu Lahoz (kanan) melayangkan kad kuning kepada penolong jurulatih Argentina, Walter Samuel. - Foto REUTERS
Pengadil perlawanan, Antonio Miguel Mateu Lahoz (kanan) melayangkan kad kuning kepada penolong jurulatih Argentina, Walter Samuel. - Foto REUTERS

"Kami tidak mahu masa tambahan atau penalti," kata Messi. "Kami terlalu menderita dengan apa yang terjadi, tetapi ia suku akhir Piala Dunia.

"Kami sedar bagaimana penderitaannya apabila tiba giliran kami, tetapi kami layak ke separuh akhir. Ia hebat, sesuatu yang mengagumkan," katanya. – AFP

Berita Harian X