Sabtu, 10 Disember 2022 | 12:14am
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui (tengah) bersama pasukannya ketika menjalani latihan di Stadium Duhail SC, Doha menjelang perlawanan menentang Portugal malam esok. - Foto REUTERS
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui (tengah) bersama pasukannya ketika menjalani latihan di Stadium Duhail SC, Doha menjelang perlawanan menentang Portugal malam esok. - Foto REUTERS

Maghribi belum puas

AL RAYYAN, Qatar: Maghribi mahu terus mencipta sejarah di Piala Dunia apabila mereka bertemu Portugal pada aksi suku akhir, malam esok.

Skuad bimbingan Walid Regragui itu menegaskan, mereka masih belum berpuas hati di sebalik pencapaian yang sudah diraih setakat ini, termasuk menyamai pencapaian terbaik pasukan dari Afrika.

Regragui berkata, mereka akan turun dalam perlawanan itu sebagai pasukan 'underdog', berbanding Portugal tetapi sudah membuktikan mampu menjadi pencabar utama di Qatar dan dahagakan lebih banyak lagi kejayaan.

Jika mereka menang aksi yang akan berlangsung di Stadium Al Thumama itu, Maghribi akan menjadi pasukan pertama Afrika yang mara ke kelompok empat terbaik selepas menjadi negara Arab pertama layak ke suku akhir.

"Kami sudah mencapai perkara yang hebat, tetapi kami rasa ia tidak mencukupi, kami mahu pergi lebih jauh," kata Regragui pada sidang media, hari ini.

"Kami membuktikan semua data mengenai peluang mereka adalah salah dan begitu juga dengan Belgium dan Sepanyol. Mereka semua fikir kami akan kalah kepada mereka."

Maghribi mengakhiri saingan pusingan pertama selaku juara kumpulan selepas mencatat keputusan seri dengan Croatia dan menewaskan Belgium serta Kanada, sebelum mengetepikan Sepanyol menerusi penentuan penalti dalam pusingan 16 terbaik.

Bagaimanapun, pencapaian yang dilakar itu terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi apabila pemain pertahanan utama, Nayef Aguerd tidak pasti dapat diturunkan dalam aksi menentang Portugal selepas mengalami kecederaan hamstring.

Pemain utama lain seperti kapten, Romain Saiss dan pemain tengah, Sofyan Amrabat turut mengalami kecederaan.

"Kami tidak akan menyembunyikannya, kami letih," kata Regragui yang hanya dilantik sebagai jurulatih tiga bulan sebelum Piala Dunia.

"Tetapi apabila anda pergi sejauh ini dalam kejohanan, anda perlu bergantung kepada semua orang dalam skuad. Jadi, jika Nayef tidak boleh bermain maka orang lain perlu mengambil tempatnya. Kami tidak akan mencari alasan, kami ada misi besar di sini." - REUTERS

Berita Harian X