Jumaat, 9 Disember 2022 | 12:12pm
Penyerang England, Harry Kane (dua dari kiri) mengambil bahagian dalam latihan dekat Stadium Al Wakrah SC di Al Wakrah, Doha. - AFP
Penyerang England, Harry Kane (dua dari kiri) mengambil bahagian dalam latihan dekat Stadium Al Wakrah SC di Al Wakrah, Doha. - AFP

Kane tak hirau rekod peribadi

DOHA: Harry Kane berada di ambang memecah rekod penjaring gol England tetapi pemain bintang yang tidak mementingkan diri sendiri itu lebih gembira untuk melupakan lakaran sejarah sebaliknya peluang untuk mengemudi negaranya meraih kegemilangan Piala Dunia.

Kane yang akan berdepan aksi genting England pada suku akhir Piala Dunia menentang juara dunia Perancis awal pagi Ahad ini hanya satu gol di belakang penjaring gol terbanyak Three Lions, Wayne Rooney.

Penyerang berusia 29 tahun itu meledak gol kali pertama pada Piala Dunia tahun ini ketika menang 3-0 ke atas Senegal pada pusingan 16 terakhir Ahad lalu, membolehkannya mengumpul 52 gol dalam karier bersama England.

Kane turut mengatasi Gary Lineker sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman England pada kejohanan utama dengan 11 gol.

Bos England, Gareth Southgate berasa lega melihat Kane menamatkan segala keraguan mengenai prestasinya dengan berkata: "Mana-mana penyerang tengah mahu melepasi rekod itu dan sudah tentu buatnya melenyapkan segala persoalan."

Sesudah memenangi Kasut Emas pada Piala Dunia 2018 dengan enam gol dalam laluan England ke separuh akhir, nilai Kane kepada pasukan sudah diketahui umum.

Namun kematangan dan sikap tidak pentingkan diri sendiri turut menjadi resepi penting bagi kejayaan England ketika dia memainkan peranan yang mana mungkin kurang menjaringkan gol tetapi membantu rakan sepasukannya seperti Phil Foden dan Bukayo Saka untuk menyerlah.

Southgate menyedari sumbangan penting Kane pada aksi menentang Senegal apabila penyerang Tottenham itu turun sedikit ke bahagian tengah untuk bergabung dengan Jude Bellingham sekali gus membuka ruang kepada Foden dan Saka di bahagian sayap.

Hantaran tepat Kane kepada Bellingham membolehkan pemain remaja itu melakukan umpanan menjurus kepada gol pembukaan Jordan Henderson menentang Senegal.

"Saya fikir dia mula mendapat lebih banyak ruang pada babak kedua dan sumbangannya dalam menghubungkan permainan amat baik, jadi ia penting buat dia dan kami," kata Southgate.

Sekalipun Kane dilihat agak pendiam di tengah padang, Saka mendedahkan kaptennya itu tidak malu ketika berteriak memberi ucapan sebelum perlawanan.

"Harry seorang pemimpin. Di tengah padang dia mempamerkan kepimpinannya menerusi corak permainannya dan dia antara yang paling bising di bilik persalinan. Sebelum setiap perlawanan dia akan membuat ucapan untuk membangkitkan semangat kami," kata Saka. – AFP

Berita Harian X