DOHA: Dua tahun lalu, karier Andries Noppert berada dalam situasi tidak menentu dan penjaga gol Belanda itu pernah memikirkan untuk bersara daripada arena bola sepak.
Namun masa penentu segala-galanya dan dia kini dalam persiapan untuk bertemu Lionel Messi dan Argentina dalam saingan suku akhir Piala Dunia.
Noppert berada dalam skuad pelapis divisyen kedua Belanda dan hanya beberapa kali membuat penampilan profesional sejak 2020 dan dia pernah memikirkan mengenai persaraan daripada bola sepak untuk memulakan kerjaya sebagai anggota polis.
Dia memutuskan untuk kekal dengan keputusannya dan kariernya bermula selepas menyertai Go Ahead Eagles sebelum perpindahan ke Heeerenveen berjaya menarik perhatian jurulatih Belanda, Louis van Gaal.
Kini, pemain berusia 28 tahun itu menjadi pilihan utama Belanda di Piala Dunia Qatar, dan dia membuat penampilan sulungnya dalam perlawanan pembuka tirai menentang Senegal.
Noppert dijadual bertemu pasukan Argentina pada awal pagi Sabtu ini dalam saingan suku akhir dan sama sekali tidak gentar sekiranya perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti yang mungkin disertai Messi.
"Bergantung kepada keadaan - dia juga boleh tersasar dan kita semua sudah melihatnya dalam beberapa perlawanan di kejohanan ini," kata Noppert.
"Dia sama saja seperti kita semua, dia juga manusia. Sudah tentu, dia seorang yang bagus tetapi dalam pada itu, saya juga mampu menepis cubaan penalti."
Noppert diturunkan dalam semua perlawanan Belanda di Qatar setakat ini dan hanya melepaskan dua gol dalam perjalanan mereka ke suku akhir.
Pemain paling tinggi dalam kejohanan dengan 2.03 meter (m) ini menerima pujian atas kemampuannya dalam menyekat percubaan jaringan selain bijak menguasai kawasan penalti.
Pencapaian setakat ini bersama pasukan kebangsaan nyata mengukir senyuman buat dirinya apatah lagi ia berlaku dalam tempoh yang singkat dan tidak diduga sama sekali olehnya.
"Apabila kamu masih kecil, saya fikir kamu mengimpikan untuk ke Piala Dunia," katanya. "Sudah tentu saya turut mengimpikannya tetapi apabila kamu melihat karier saya, saya meletakkan impian itu ke tepi kerana saya fikir ia tidak mungkin dapat dilakukan.
"Namun saya terus berusaha dan saya fikir hanya ada seorang jurulatih yang mampu membawa saya ke sini dan dia adalah jurulatih kami." - AFP