AL RAYYAN: Piala Dunia tahun ini menyaksikan dunia Arab mempunyai wakil sulung di pentas saingan suku akhir.
Maghribi menjadi satu daripada empat negara Afrika yang mara ke suku akhir di kejohanan bola sepak terbesar dunia itu apabila menewaskan Sepanyol menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan.
Ini adalah penampilan kedua Maghribi di pentas kalah mati pada Piala Dunia, kejohanan yang pertama kali dianjurkan di Timur Tengah dalam sejarah 100 tahun penganjurannya.
"Pada masa sekarang ia adalah detik istimewa buat seluruh negara Afrika, Arab dan semua Muslim di seluruh dunia," kata pemain tengah Maghribi, Azzedine Ounahi.
"Kamu cuba membuatkan mereka gembira dan juga diri kami sendiri.
Saya fikir ia berlangsung dengan baik."
Piala Dunia di Qatar adalah yang pertama dianjurkan di dunia Arab dan kedua di Asia.
Kejohanan bermula dengan kejutan besar dalam sejarah apabila Arab Saudi menewaskan juara dunia dua kali, Argentina pada hari ketiga saingan.
Begitupun, Arab Saudi tersingkir termasuk tuan rumah, Qatar dan Tunisia di peringkat kumpulan dan secara tidak langsung menjadikan Maghribi sebagai penanda aras terbaik buat dunia Arab.
"Saya sangat berbangga dengan penyokong, rakyat dan masyarakat Arab," kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui yang menjadi jurulatih Afrika pertama yang melatih pasukan Afrika mara ke suku akhir.
"Juga kepada rakyat Qatar, mungkin juga Algeria, Tunisia, Arab dan Afrika yang berada di sini."
Achraf Hakimi yang dilahirkan di Madrid dan pernah beraksi bersama Real Madrid, melunaskan sepakan penalti, manakala Abdelhamid Sabiri dan Hakim Ziyech turut membantu melakukan jaringan.
Maghribi selepas ini dijadual bertemu Portugal dalam aksi suku akhir pada Sabtu ini selepas mengharungi saingan dalam 'kumpulan maut' yang disertai Kanada, semi finalis 2018 Belgium dan naib juara 2018 Croatia.
Atlas Lions menyertai kejohanan dengan lebih separuh daripada skuad disertai pemain yang tidak dilahirkan di Maghribi, jumlah teramai daripada mana-mana 32 negara yang mengambil bahagian. - AP