DOHA: Bukayo Saka, berkata tiada sebab untuk England berasa rendah diri berdepan dengan Perancis ketika mereka bersedia menentang juara bertahan Piala Dunia itu pada suku akhir.
Dipenuhi bintang hebat seperti Kylian Mbappe, Perancis mara ke kelompok lapan terakhir dengan gaya tersendiri ketika mereka menyasarkan untuk mempertahankan trofi dimenangi.
Mbappe ialah penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan lima gol membuatkan ramai pemerhati meletakkan Perancis sebagai pilihan pada pertembungan kelompok lapan terakhir di Stadium Al Bayt awal pagi Ahad ini.
Malah, bos England, Gareth Southgate merumuskan selepas kemenangan 3-0 pasukannya menentang Senegal, Perancis akan memberikan ujian lebih besar dalam usaha Three Lions mencari gelaran.
Namun penyerang England, Saka, yang meledak ketika berdepan Senegal selepas dipilih berbanding Marcus Rashford, menegaskan pasukannya juga berhak mendapat penghormatan seperti skuad Les Bleus.
"Kami tahu kualiti yang mereka ada, tetapi juga sedar dengan kualiti kami miliki. Kami sudah mencipta tiga perlawanan tanpa bolos dan pada masa sama menjaringkan gol terbanyak (dalam kejohanan kali ini)," kata Saka.
"Sekarang kami ada banyak pengalaman dalam kejohanan, jika anda lihat keputusan sejak beberapa kejohanan lalu yang dilalui, kami mara ke separuh akhir dan final. Jadi apabila ada perlawanan besar, kami ada ramai pemain yang tahu apa perlu dilakukan mereka.
"Kami berasa bagus ketika ini, sudah tentu kami perlu percaya boleh menang kejohanan ini."
Ketika Mbappe dijangka akan memberikan ancaman serius di bahagian serangan Perancis, ada cadangan supaya Southgate menggunakan tiga pemain pertahanan di depan bagai menjinakkan penyandang gelaran itu.
Dan Saka menyedari kekuatan Perancis sambil berkata: "Hanya ada seorang Kylian Mbappe. Dia berada di sana bersama pemain terbaik dunia.
"Kami tahu kualiti dimilikinya dan bersedia untuk menyekatnya. Tapi bukan hanya dia, Perancis ada ramai pemain berkualiti." - AFP