Isnin, 5 Disember 2022 | 12:14pm
Maria Gimenez dan Cavani membuat bantahan kepada Siebert selepas perlawanan antara Uruguay dan Ghana di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Doha. - Foto REUTERS
Maria Gimenez dan Cavani membuat bantahan kepada Siebert selepas perlawanan antara Uruguay dan Ghana di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Doha. - Foto REUTERS

Cavani, Maria Gimenez berdepan hukuman FIFA

DOHA: FIFA menimbang kemungkinan mengenakan tindakan berkaitan insiden selepas perlawanan antara Uruguay dan Ghana pada Piala Dunia Qatar, dengan penyerang Edinson Cavani dan pertahanan, Jose Maria Gimenez dijangka berdepan hukuman.

Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) juga mungkin berdepan tindakan badan induk dunia itu, namun mereka lebih bimbang jika sekali lagi menerima hukuman seperti kes pada 2014.

Sekiranya pemain dikenakan penggantungan beberapa perlawanan dan bukannya dalam tempoh tertentu, ia pasti berita baik buat kelab mereka Atletico Madrid (Gimenez) dan Valencia (Cavani) kerana hanya akan digantung bagi perlawanan antarabangsa.

Gimenez menghambur kata-kata kesat ditujukan kepada pengadil Jerman, Daniel Siebert ketika Uruguay menang 2-0 ke atas Ghana pada aksi terakhir peringkat kumpulan, tetapi gagal mara ke peringkat kalah mati apabila Korea Selatan menjaringkan gol saat akhir untuk menundukkan Portugal 2-1.

Cavani pula menumbuk dan merosakkan skrin video bantuan pengadil (VAR) dengan sikunya ketika dia dan rakan sepasukan tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil yang tidak memberikan mereka sepakan penalti pada hujung perlawanan.

Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, Luis Suarez menggigit bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dan dikenakan beberapa penggantungan termasuk larangan selama empat bulan terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak.

Penggantungan seperti itu dibimbangi Uruguay terutama kelab masing-masing Atletico Madrid dan Valencia.

Hukuman terhadap Suarez agak berat hingga ia dicabar di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

CAS mengekalkan kebanyakan aspek hukuman, namun membenarkan pemain itu berlatih dengan kelab baharunya, Barcelona tetapi tidak dapat membuat penampilan sulung hingga Oktober. - AGENSI

Berita Harian X