Ahad, 4 Disember 2022 | 9:23pm
Pemain JDT, Safawi Rasid di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu sejurus berakhirnya saingan final Piala Malaysia menentang Selangor FC. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pemain JDT, Safawi Rasid di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu sejurus berakhirnya saingan final Piala Malaysia menentang Selangor FC. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Safawi Rasid pindah ke Thailand, tinggalkan sementara JDT

KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak sensasi kebangsaan, Safawi Rasid bakal beraksi di Liga 1 Thailand bersama Ratchaburi FC, selepas saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengesahkan penyerang dan pemain sayap lincah berusia 25 tahun itu telah dipinjamkan kepada Ratchaburi.

Selain Muhammad Safawi, skuad Harimau Selatan itu juga mencapai persetujuan dengan kelab Thailand itu untuk meminjamkan pemain import dari Mali, Moussa Sidibe.

"Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang," katanya menerusi kenyataan ringkas di media sosial kelab berkenaan.

Terdahulu, sebuah portal antarabangsa melaporkan Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana sebagai berkata kelab berkenaan mencapai persetujuan dengan JDT untuk mendapatkan khidmat Safawi, yang merupakan salah seorang kapten skuad Harimau Malaya.

Piala AFF 2022 dijadualkan bermula 20 Disember hingga 16 Januari.

Safawi yang menyertai JDT dari Terengganu FC II pada Januari 2017, sebelum ini pernah dipinjamkan ke kelab di divisyen utama Portugal, Portimonense SC selama tiga bulan pada hujung 2021.

Pemain kelahiran kelahiran Dungun, Terengganu itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama pelakon, Syifa Melvin Isnin lepas.

Sebelum ini pemain negara seperti Shahrel Fikri pernah beraksi di Liga Thai menerusi kelab, Nakhon Ratchasima manakala, Dominic Tan (Police Tero) dan Junior Eldstal (Chonburi FC).

- BERNAMA

Berita Harian X